Pekerja swasta maut motosikal langgar lori

Iklan
Mangsa maut di tempat kejadian dalam kemalangan di Kilometer 1.5 Jalan Kuala Selangor - Rawang pada Selasa.

KUALA SELANGOR - Seorang pekerja swasta maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Kilometer 1.5 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini pada Selasa.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu menyebabkan mangsa berusia 36 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15zr meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Azharudin Tajuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Raja Musa di sini.

"Sewaktu kejadian, mangsa berada di lorong kiri sebelum sebuah lori jenis Daihatsu Delta dari arah bertentangan membelok ke kanan untuk memasuki simpang tiga jalan berkenaan.

Iklan

"Penunggang motosikal menekan brek kecemasan, namun gagal mengawal kenderaannya dan telah melanggar bahagian pagar sebelah kiri lori terbabit," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Azharudin memberitahu, akibat kemalangan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.

Iklan

"Pemandu lori berusia 31 tahun itu pula tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," jelas beliau.