3,754 mangsa banjir di empat negeri

Iklan
Pasangan suami isteri, Zaini Na'am, 76, dan isterinya, Halimah Mat Som, 71, duduk di tangga halaman rumah mereka di Kampung Beriah, Bagan Serai yang digenangi banjir termenung. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Seramai 3,754 mangsa banjir masih berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri setakat jam 8 malam tadi.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir kembali meningkat kepada 2,771 orang malam ini, berbanding 2,379 orang petang tadi.

Iklan
Iklan

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain menerusi kenyataan memaklumkan, kesemua mangsa ditempatkan di 21 PPS di empat daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena dan Pendang.

Daerah Kubang Pasu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 1,076 orang diikuti Kota Setar (839), Pokok Sena (479) dan Pendang (377).

Iklan

Di PERLIS, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 696 orang berbanding 678 orang petang tadi.

Pengarah APM Perlis Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, kesemua mereka berada di enam PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, SK Bintong dan Kolej Vokasional Kangar bagi kawasan Kangar, serta SK Kubang Gajah, SK Guar Nangka dan SK Arau di Arau.

Iklan

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani menerusi kenyataan memaklumkan, jumlah mangsa banjir di negeri itu menurun kepada 150 orang berbanding 264 orang petang tadi.

Beliau berkata, kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS di tiga daerah terjejas iaitu SK Seri Anom dan SK Parit Markom di Pontian, SK Sungai Linau, Kluang dan SK Seri Bunut di Batu Pahat.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir malam ini meningkat sedikit kepada 137 orang yang ditempatkan di dua PPS di daerah Kerian. - Bernama