KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pelajar Tingkatan Satu dikhuatiri lemas selepas mandi di pintu air Pangkal Kalong, Kampung Pagut, Pangkal Kalong Kok Lanas di sini pada Rabu.
Remaja terbabit, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, dikatakan mandi kawasan tali air itu bersama tiga rakan lain sebelum didapati hilang dikhuatiri lemas.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Pegawai Kanan Bomba ll (PBK II), Hamdan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.09 petang.
Jelas beliau, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan selaman di permukaan air bergantung pada keadaan di lokasi berkenaan.
"Melalui perbincangan, selaman akan dilakukan pada esok (Khamis) kira-kira jam 8 pagi dan kedalaman air mungkin mencecah sehingga enam meter," katanya kepada Sinar Harian,
Sementara itu, penduduk, Siti Hawa Jusoh, 70, ketika ditemui memberitahu, kejadian lemas itu pertama kali berlaku selepas 10 tahun di lokasi terbabit.
Menurutnya, tali air itu sangat dalam dan membekalkan air ke sawah bukan sahaja di kawasan berkenaan malah beberapa kilometer dari kampung itu.
Menceritakan kejadian, Siti Hawa yang tinggal berdekatan dari pintu air itu berkata, ketika itu dia baru sahaja selesai solat Asar dan tiba-tiba terdengar jeritan meminta tolong dari luar rumah.
"Saya kemudian keluar dan mendapati ada seorang remaja lelaki yang dalam keadaan kelam kabut memberitahu rakannya lemas," katanya.
Katanya lagi, pintu air itu selalu dikunjungi kanak-kanak serta remaja dan ada di antara mereka yang turun mandi.
"Saya selalu melarang dan menegur kanak-kanak itu supaya berhati-hati dan tidak mandi di situ kerana air dalamdan deras," katanya.