GEORGE TOWN - Syarikat Printhero Merchandise Sdn Bhd (Printhero), yang mendapat pajakan untuk menjadikan sebuah feri ikonik Pulau Pinang sebagai muzium, telah melantik kontraktor untuk mengapungkannya semula selepas didapati mengalami kebocoran ketika proses pengubahsuaian.
Ketua Pegawai Eksekutif Printhero, Abdul Hadi Abu Osman berkata, proses itu dijangka selesai tidak lama lagi selepas punca sebenar feri tersebut dimasuki air dikenal pasti.
Iklan
Iklan
"Pasukan yang dilantik ini terdiri daripada beberapa orang pakar dan penyelam yang berkemahiran serta berpengalaman dan pihak syarikat akan berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan feri itu... pihak syarikat juga akan melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa," menurutnya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata pada 6 Oktober lepas, feri itu dikesan sedikit senget dan pemeriksaan mendapati air telah memasuki ruangan bilik enjin dan proses pengepaman segera dilakukan dengan bantuan beberapa pihak seperti Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).
"Pihak syarikat juga telah membuat keputusan untuk menunda feri ke kawasan yang lebih cetek berhampiran kawasan gudang SPCT bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dan pemeriksaan keseluruhan dilakukan. Kini, usaha kerja-kerja menyelamat giat dijalankan," katanya.
Terdahulu, Bernama melaporkan syarikat yang menjalankan projek Muzium Feri Pulau Pinang diminta memberikan laporan penuh selepas gambar feri dalam proses pengubahsuaian itu tular di media sosial hari ini.
Feri itu, yang pada asalnya dalam keadaan separa tenggelam di Bagan Dalam pada 2021, telah ditunda ke SPCT dan sedang giat menjalani proses baik pulih untuk dijadikan muzium sebelum ditempatkan di Tanjung City Marina. - Bernama