3 juta kanak-kanak UK miskin, kebuluran

Iklan
Kira-kira 46 peratus lebih kanak-kanak kini berhadapan dengan kebuluran dan daif berbanding dua dekad lalu. - Agensi

LONDON - Seramai 9.3 juta orang, termasuk tiga juta kanak-kanak direkodkan berdepan kebuluran di United Kingdom (UK), menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu.

Pendedahan ini disifatkan memberi lebih tekanan kepada kerajaan baharu Parti Buruh untuk berusaha lebih kuat dalam menangani kemiskinan kanak-kanak di negara tersebut.

Iklan
Iklan

Penemuan itu muncul sebelum pembentangan bajet pertama kerajaan yang dijangka akhir bulan ini, dalam suasana krisis kos sara hidup yang menjerumuskan peningkatan ketara penggunaan bank makanan.

Menurut laporan daripada organisasi bukan kerajaan, Trussell Trust, hampir suku kanak-kanak bawah umur empat tahun sedang menghadapi kemiskinan melampau.

Iklan

"Lebih mengejutkan, lebih 46 peratus kanak-kanak kini berhadapan dengan kebuluran dan daif berbanding dua dekad lalu. Ini bermakna seorang daripada lima yang sedang kanak-kanak membesar terperangkap dalam situasi ini,” kata Trussell Trust itu dalam satu kenyataan.

Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) tahun lepas mendapati bahawa UK sebuah negara anggota kumpulan G7 dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), serta ekonomi keenam terbesar dunia mempunyai kadar kemiskinan kanak-kanak antara yang tertinggi dalam kalangan negara-negara kaya lain.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer terpaksa berusaha keras menangani kemiskinan kanak-kanak. - AFP

Iklan

Trussell Trust berkata, tanpa tindakan segera daripada kerajaan Perdana Menteri Keir Starmer, jumlah mereka yang berhadapan dengan kebuluran didefinisikan sebagai hidup 25 peratus di bawah garis kemiskinan akan terus meningkat.

Badan amal itu mentakrifkan garis kemiskinan yang berpendapatan sebanyak 152 pound (RM852) seminggu untuk seorang yang tinggal sendiri manakala 204 pound (RM873) bagi ibu-bapa tunggal dengan seorang anak.

Ini termasuk pembayaran bil elektrik, air, cukai hartanah serta makanan.

Kemiskinan dan kebuluran antara menjadi isu utama kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri Britain Keir Starmer. - Agensi

Salah satu langkah yang boleh membantu mengurangkan tahap kemiskinan adalah dengan membuang had manfaat dua anak, yang bermaksud keluarga tidak boleh menuntut subsidi kerajaan untuk anak ketiga yang lahir selepas April 2017.

Bagaimanapun, Parti Buruh telah menolak untuk memansuhkan dasar tersebut walaupun menerima tentangan hebat daripada kesatuan sekerja dan beberapa ahli Parlimen sendiri.

Menteri Kewangan, Rachel Reeves mengatakan bahawa beliau tidak dapat memansuhkan had tersebut dalam belanjawan pada 30 Oktober kerana kekurangan kewangan sebanyak 22 bilion pound (RM123 bilion) yang didakwa ditinggalkan oleh kerajaan Parti Konservatif yang lepas.

PERTEMBUNGAN POLITIK

Berwaspada dengan tuduhan melulu ekonomi, Parti Buruh telah berpegang kepada janji yang lebih samar untuk 'membangunkan strategi yang bercita-cita tinggi bagi mengurangkan kemiskinan kanak-kanak' dan isu had dua anak yang telah menjadi medan pertembungan politik.

Bulan lalu, ia disebut dalam surat peletakan jawatan ahli Parlimen pertama dari Parti Buruh yang meninggalkan parti sejak pilihan raya di mana mereka menyingkirkan Parti Tory pimpinan Rishi Sunak.

Rosie Duffield menuduh perdana menteri dan pasukannya bersikap hipokrit kerana menerima hadiah pakaian mahal dan layanan daripada penderma kaya sambil 'memilih untuk mengekalkan had dua anak Parti Konservatif'.

John McDonnell yang pernah berkhidmat sebagai jurucakap kewangan bekas pemimpin Buruh daripada sayap kiri, Jeremy Corbyn dan merupakan salah seorang daripada tujuh ahli Parlimen yang digantung oleh parti itu pada Julai kerana mengundi untuk memansuhkan had tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘serangan kejam ke atas keluarga’.

"Parti Buruh dalam kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk mengakhiri penderitaan kanak-kanak ini. Ia mampu dilakukan sepenuhnya dan akan menjimatkan wang dengan mencegah masalah kesihatan dalam kalangan kanak-kanak miskin,” katanya.

Krisis kos sara hidup adalah isu utama dalam pilihan raya di Britain.

Sepanjang dua tahun yang lalu, golongan pekerja baik doktor dan jururawat hingga guru dan pemandu kereta api, telah melakukan mogok kerana gaji yang gagal menyaingi inflasi.

Pengarah Dasar, Penyelidikan dan Impak di Trussell Trust, Helen Barnard berkata, angka terbaru itu tidak sepatutnya berlaku di salah satu negara terkaya di dunia.

"Kita memerlukan tindakan segera mengenai kebuluran di UK kerana jika tiada perubahan, bilangan orang yang menghadapi kebuluran dan kesusahan hanya akan terus meningkat dan sekali gus menjejaskan sistem pentadbiran negara,” tambahnya. - AFP