Loya tekak tengok si pengotor kendali kedai makan

Iklan
Laporan Sinar Harian.

BARU sahaja reda isu video tular seorang pekerja sebuah restoran di Kuala Lipis, Pahang membasuh periuk besar dengan penyapu, timbul pula satu lagi kisah yang meloyakan tekak.

Kali ini video tular memaparkan seorang pekerja asing di sebuah gerai roti canai membasuh kuali menggunakan air longkang.

Iklan
Iklan

Perbuatan pekerja itu mengundang kemarahan pengguna media sosial.

Selepas ditegur oleh wanita yang merakamkan video tersebut, pekerja lelaki yang sedang asyik mencuci itu tanpa rasa bersalah mengangkat kuali yang sudah dibasuh dengan air longkang itu ke bawah khemah gerai yang kotor.

Iklan

Walaupun tidak disebut secara spesifik lokasi gerai tersebut, tapi Merak Jalanan diberitahu gerai roti canai itu agak popular dalam kalangan pelanggan.

Tak dapat bayangkan bagaimana nasib ‘perut’ pelanggan yang sudah menikmati hidangan di gerai berkenaan.

Iklan

Sebenarnya, banyak lagi kes pengendali makanan yang pengotor tular di media sosial.

Antaranya pada Januari 2023, seorang pekerja restoran di Klang dengan selamba menggaul ayam di atas jalan tar.

Itu yang dibongkar di media sosial, Merak Jalanan percaya banyak lagi kes-kes yang tidak dilaporkan di media sosial.

Merak Jalanan perhatikan, kebanyakan restoran kotor ini biasanya dikendalikan pekerja warga asing. Tapi pelik juga, premis kotor inilah yang biasanya ramai pelanggan masuk.

Kalau sebelum ini isu sijil halal di restoran besar hangat didebatkan banyak pihak, rasanya isu kebersihan restoran atau gerai-gerai kecil sebegini perlu lebih diberi perhatian, khususnya Kementerian Kesihatan.

Cuma Merak Jalanan berpandangan, perlu tindakan lebih tegas terhadap restoran kotor ini. Arah tutup terus buat selama-lamanya dan senarai hitamkan pengusahanya.

Bukan setakat tutup operasi 14 hari dan kemudian dibenarkan buka semula selepas premis dibersihkan.