'Jumlah pelarian ke Malaysia mungkin meningkat'

Iklan
Hussain Yusri Zawawi

SHAH ALAM - Malaysia mungkin mencatatkan peningkatan jumlah pelarian terutamanya dari Yaman yang kini mengalami krisis kemanusiaan, sekiranya rejim Zionis meluaskan serangannya ke beberapa negara Asia Barat lain.

Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ia kerana Malaysia sering menjadi tempat perlindungan bagi pelarian.

Iklan
Iklan

"Walaupun Malaysia tidak terlibat dalam konflik fizikal di Asia Barat secara langsung namun seandainya berlaku serangan lebih luas, ia dijangka memberi impak kepada negara terutama dari segi isu kemanusiaan iaitu peningkatan jumlah pelarian.

"Keadaan ini boleh memberi tekanan kepada sistem bantuan kemanusiaan negara,” katanya pada Rabu.

Iklan

Beliau mengulas dakwaan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bahawa rejim Zionis bakal meluaskan serangan ke beberapa negara seperti Yaman, Sudan dan Libya.

Hussain Yusri berpandangan, sebagai negara yang lantang menyuarakan sokongan kepada Palestin dan menolak tindakan Israel, Malaysia juga boleh berdepan peningkatan tekanan diplomatik.

Iklan

"Israel mungkin melobi sekutu-sekutunya untuk mengehadkan sokongan negara-negara lain kepada Palestin jadi Malaysia sebagai penyokong utama Palestin mungkin akan menghadapi cabaran diplomatik.

"Jika ketegangan ini tersebar ke negara-negara jiran Malaysia seperti dalam konteks Asia Barat yang lebih luas, negara-negara Islam lain di rantau ini mungkin terlibat dalam konflik tersebut.

"Malaysia mungkin perlu mempertimbangkan aspek keselamatan serantau dan memperkuatkan kerjasama dengan negara-negara jiran untuk kestabilan,” ujarnya.

Beliau menyarankan Malaysia menguatkan suara diplomatiknya di peringkat antarabangsa termasuk melalui platform seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN.

Hussain Yusri berkata, Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam mengajak lebih banyak negara menolak tindakan agresif Israel dan menyokong proses perdamaian di Asia Barat.

"Dengan ketegangan dan konflik yang mungkin meningkat, Malaysia juga perlu bersiap sedia untuk meningkatkan sokongan kemanusiaan kepada pelarian serta mangsa konflik di Yaman, Sudan dan Libya termasuk memperluaskan kerjasama dengan badan-badan antarabangsa serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk memastikan bantuan disalurkan dengan berkesan,” kata beliau.

Ujarnya, Malaysia juga perlu bersedia menghadapi ancaman keselamatan kerana meskipun terletak jauh dari Israel, tidak mustahil akan ada kesan sampingan dari segi keselamatan seperti serangan siber atau propaganda ekstremis.

Ujarnya, pihak berkuasa keselamatan Malaysia harus berwaspada dan bersedia dengan pelan tindakan untuk menangani sebarang ancaman yang timbul.

"Kesimpulannya, Malaysia perlu terus konsisten dalam pendirian tegasnya menentang penjajahan Zionis serta meningkatkan kerjasama diplomatik dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa,” katanya.