Safiq cabar Liridon jadi taring Harimau Malaya

Iklan
Laporan Sinar Harian baru-baru ini.

BEKAS ketua skuad kebangsaan Safiq Rahim, mencabar pemain naturalisasi baharu negara Liridon Krasniqi menjadi ‘taring’ Harimau Malaya bagi membuktikan pemilihannya sebagai pemain naturalisasi bukan satu kesilapan.

Kebijaksanaan pemain kelahiran Kosovo berusia 28 tahun itu dalam membaca rentak permainan, disifatkan Safiq sebagai satu kelebihan kepada pasukan negara, yang kini dalam misi melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Iklan
Iklan

Safiq yang kini bersama Melaka United berkata kelebihan dimiliki tonggak tengah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, akan menambah mutu skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, statistik prestasi Liridon hanya membabitkan saingan domestik dan Safiq menegaskan bekas pemain Melaka United serta Kedah itu perlu meneruskan rentak cemerlangnya ketika menyarung jersi negara.

Iklan

"Beliau (Liridon) seorang pemain yang baik dan bagi skuad negara adalah satu kelebihan, apabila beliau dapat dinaturalisasikan. Pasukan negara perlu menggunakan kelebihan yang ada pada Liridon terutama daya membaca permainan, kerana impaknya sangat besar dalam setiap perlawanan.

"Liridon perlu tunjukkan kemampuan sebenar dan bagi 100 peratus ketika bermain untuk pasukan negara, kerana tiada yang lagi besar daripada negara. Kita mahu melihat beliau beraksi di tahap lebih tinggi, kerana setakat ini beliau hanya beraksi dalam saingan domestik,” katanya di Cyberjaya.

Iklan
Safiq

Liridon memperkenalkan dirinya kepada peminat bola sepak tanah air dengan bergaya, apabila membantu Kedah menjuarai saingan Liga Premier, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA sepanjang empat musim bersama skuad Lang Merah bermula 2015.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin lepas mengesahkan Liridon secara rasmi menjadi warganegara Malaysia, selepas menerima kad pengenalan (MyKad) dan menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas pemain sayap Pahang Mohamadou Sumareh.

Malaysia akan meneruskan misi ke Piala Asia 2023, dengan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 26 Mac dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil (31 Mac), dalam melengkapkan baki saingan Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Pada masa sama, Safiq menegaskan pemain tempatan perlu menerima perkembangan Liridon ini, sebagai satu motivasi untuk meningkatkan lagi tahap kualiti permainan.

"Kita perlu ambil ini dari sudut positif, dan sebagai pemain tempatan kita kena ada jiwa yang besar kerana ia merupakan salah satu karakter seorang pemain bola sepak. Jangan cepat berpuas hati...kena sentiasa bersaing dan berusaha berikan yang terbaik,” jelas Safiq. - Bernama