HASRAT kerajaan mahu mempertimbangkan untuk menamatkan subsidi telur ayam gred A, B dan C sekiranya bekalan bahan mentah itu kembali stabil perlu diteliti dengan sebaik mungkin.
Hal ini kerana rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah masih memerlukan bekalan telur ayam bersubsidi yang umumnya menjadi keperluan harian setiap isi rumah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara tersebut telah dikemukakan ke Kementerian Kewangan (MoF) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Penamatan subsidi telur ayam itu dilihat mampu menumpaskan taktik manipulasi harga pasaran oleh kartel-kartel, namun akhirnya yang tetap terkena tempias adalah rakyat marhaen.
Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan juga berpandangan, kerajaan perlu mempertimbangkan mekanisme kawalan harga telur ayam yang lebih fleksibel atau bersasar sebelum mengambil keputusan besar sedemikian.
Katanya, ia bagi memastikan golongan miskin masih boleh mendapatkan telur ayam pada harga murah, dalam masa sama pasaran dibenarkan berfungsi secara bebas bagi golongan yang mampu membeli dengan harga semasa.
Begitu juga dengan Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin yang menginginkan kerajaan untuk melakukan satu kajian impak bersama kesemua pemegang taruh sebelum menamatkan subsidi telur ayam.
Ia kerana jelas beliau, sekiranya subsidi dihentikan, harga telur ayam berpotensi meningkat 20 hingga 50 peratus dan perkara sebegitu mampu menjejaskan golongan berpendapatan rendah khususnya peniaga restoran, kedai makan atau pengusaha kecil-kecilan.
Apa pun, cadangan tersebut mungkin boleh dibuat selepas mengambil kira tindakan berjaya daripada kerajaan yang menamatkan subsidi ayam pada 1 November tahun lalu.
Namun, kepentingan dan keluhan masyarakat adalah perkara yang amat mustahak dan perlu diberi penekanan ketika ini.