BEKAS pemain pertahanan kelab liga England, Sheffield United dan Greece, George Baldock meninggal dunia pada usia 31 tahun.
Menurut sumber polis, mayatnya ditemui di kolam renang rumahnya di Glyfada, selatan Athens pada Rabu, namun punca kematiannya masih dalam siasatan.
Tonggak Greece itu menandatangani kontrak bersama kelab tempatan, Panathinaikos selepas tujuh tahun berkhidmat di Bramall Lane dan membuat penampilan sulungnya pada Ogos.
Pemain pertahanan yang tidak disenaraikan dalam skuad Liga Negara-Negara untuk menentang England itu, telah bermain ketika Panathinaikos seri tanpa jaringan menentang Olympiakos dalam Liga Super Greece di Stadium Olimpik Athens pada Isnin.
"Dengan kesedihan yang mendalam, pasukan kebangsaan dan Persekutuan Bola Sepak Greece mengucapkan selamat tinggal kepada George Baldock.
"Tidak ada kata-kata untuk menggambarkan berita kehilangan yang tidak dijangkakan seorang anak muda kita sendiri. Takziah kepada keluarganya. Takziah dari keluarga kedua beliau," kata badan induk bola sepak negara tersebut.
Sementara itu, Sheffield United memberi penghormatan kepada bekas pemain yang sangat popular dalam kalangan penyokong-penyokong The Blades berkenaan.
"Kelab Bola Sepak Sheffield United terkejut dan amat sedih apabila mengetahui pemergian bekas pemain, George Baldock.
"Pemain pertahanan itu meninggalkan kelab selepas tujuh tahun di Bramall Lane dan sangat popular dengan penyokong, kakitangan dan rakan sepasukan yang memakai baju merah dan putih bersamanya.
"Ucapan takziah ikhlas dari semua orang yang berkaitan dengan Sheffield United ditujukan kepada keluarga dan rakan George,” kata kelab itu dalam satu kenyataan.
Turut sama berkongsi kesedihan Harry Maguire, bekas pemain Sheffield United, yang menyiarkan emoji menyayat hati bersama imej Baldock di Instagram.