Tatakelola baik, dasar jelas pacu pertumbuhan ekonomi Malaysia - PM

Iklan
Anwar (kiri) berbual bersama Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan (kanan) dan keluarganya ketika meluangkan masa bersama delegasi Malaysia pada majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada malam Rabu.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkembangan ekonomi yang positif yang dicatatkan kebelakangan ini adalah hasil tatakelola yang semakin baik bersama dengan penggubalan dasar yang jelas terutama dalam sektor perindustrian, transformasi digital, tenaga dan semikonduktor.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menerusi hantaran di laman X pada Khamis berkata, Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk memperbaiki prestasi tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau percaya bahawa dengan semangat melaksanakan perubahan sedaya upaya dan keikhlasan berkhidmat dari hati nurani yang bersih, Malaysia berpotensi menjadi antara negara hebat di dunia.

"Ketika ini, semakin ramai rakyat yang menerima hakikat bahawa Malaysia memerlukan anjakan serta perubahan yang lebih rancak dan bermakna untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara atau berisiko kembali kepada keadaan ekonomi yang muram dan lembap.

Iklan

"Saya tegaskan bahawa penting untuk memanfaatkan kestabilan politik di Malaysia yang kita kecapi saat ini untuk memperbaiki tatakelola dan menjulang amalan pengurusan beramanah dan bertanggungjawab dengan matlamat mengangkat martabat, darjat dan harkat negara," katanya.

Pada masa sama, beliau dan delegasi Malaysia yang kini berada di Vientiane, Laos sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 meluangkan masa malam tadi di kediaman rasmi Duta Besar Malaysia ke Laos, Edi Irwan Mahmud untuk beramah mesra bersama kakitangan kedutaan.

Iklan

"Saya gunakan ruang berkenaan untuk menzahirkan penghargaan atas komitmen dan khidmat cemerlang kedutaan yang memainkan peranan penting meyakinkan pelabur untuk memilih Malaysia sebagai destinasi pelaburan," katanya.

Anwar tiba di Vientiane pada malam Selasa juga akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Campur Satu bersama tujuh Rakan Dialog ASEAN iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Kanada serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pemimpin ASEAN serta rakan dialog termasuk Perdana Menteri China, Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Antony Blinken turut menghadiri sidang-sidang tersebut.

Sidang kemuncak ini dijadualkan berakhir Jumaat ini.

Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia dalam majlis penutupan. - Bernama