Pembiayaan Tekun bantu ekonomi PMKS 

Iklan
Manisan Jalanan mula dijual pada Oktober 2023 dan mengetengahkan konsep hidangan pencuci mulut bertaraf kafe. 
SHAH ALAM - Mengimbau semula serangan Covid-19 yang melanda negara pada tahun 2020 bukan sahaja berkisarkan kematian malah mengenai kemerosotan ekonomi.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan ekonomi pada tahun 2020 adalah kedua terendah selepas krisis kewangan 1998.

Hal tersebut secara tidak langsung memberi gambaran bahawa tiada satu perniagaan yang tidak terkesan akibat wabak berkenaan termasuk peniaga-peniaga kecil.

Bagaimanapun, tahun demi tahun ekonomi kumpulan berkenaan bertambah baik kerana kerajaan tidak mengetepikan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam belanjawan negara.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM44 bilion bagi pinjaman serta jaminan pembiayaan usahawan PMKS dan inisiatif itu ternyata membantu ramai peniaga kecil membina semula perniagaan.

HANIZA
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Peniaga PMKS, Haniza Ishak, 41, berkata, sebaik sahaja Covid-19 melanda negara, kehidupannya bertukar menjadi kelam ekoran perniagaan yang diusahakan tidak mampu menjana pendapatan.

"Saya terpaksa tutup kedai kerana tidak mampu membayar sewa dan beralih kepada perniagaan baharu iaitu berniaga dari rumah dan atas talian.

"Bagaimanapun, perniagaan baharu tidak mendatangkan kesan positif menyebabkan saya tertekan sehingga didiagnos bipolar,” katanya kepada Sinar Harian.

Tidak berputus asa

Walaupun berhadapan dengan kesihatan mental, Haniza tidak berputus asa untuk mengambil langkah berani menukar bidang perniagaan daripada menjual inai kepada makanan pada Oktober 2023.

Haniza menggunakan wang pinjaman Tekun untuk membeli mesin perniagaan yang baharu bagi membantu meningkatkan pendapatan. 


Menurutnya, dia hanya menggunakan modal sendiri ketika memulakan perniagaan baharu iaitu ‘Manisan Jalanan’ sehingga mengetahui tentang pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun).

"Pada mulanya saya enggan membuat sebarang pinjaman kerana tidak mahu menambah komitmen, namun memikirkan kelangsungan perniagaan, saya memberanikan diri demi meneruskan kehidupan.

"Alhamdulillah, pinjaman Tekun sebanyak RM3,000 diluluskan. Permohonan Tekun begitu mudah, tidak banyak birokrasinya,” katanya.

Menurutnya, wang berkenaan digunakan untuk membeli mesin baharu seperti bubble waffle dan pancake bagi mempelbagaikan menu jualan.

Kata Haniza, mesin berkenaan merupakan satu pelaburan terbaik kerana hasil jualan semakin bertambah sehinggakan dia mampu melangsaikan pinjaman terdahulu.

Peluang pekerjaan

NUR AINI


Sementara itu, pekerja Manisan Jalanan, Nur Aini Abdul Rahman menzahirkan penghargaan kepada Haniza kerana memberikan peluang pekerjaan dan sudi menerima dia sebagai pekerja.

"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kak Haniza sudi bantu ibu tunggal seperti saya. Saya amat memerlukan pekerjaan untuk membesarkan seorang anak.

"Dalam tempoh ini, kak Haniza banyak memberi tunjuk ajar dalam perniagaan,” ujarnya.

Tambah Nur Aini, dia turut berterima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan peruntukan khusus buat peniaga-peniaga kecil.

Impak positif

MOHD FAISOL


Pensyarah Perbankan dan Kewangan Islam, Fakulti Ekonomi dan Muamalat dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, peruntukan belanjawan kepada PMKS memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Langkah ini telah membuahkan hasil apabila pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua 2024 sekitar 5.9 peratus.

"Peratusan ini agak tinggi berbanding tahun sebelum dan ia sekali gus memberi gambaran bahawa ekonomi Malaysia berada di landasan momentum positif dengan sokongan ekonomi domestik yang semakin mengukuh khususnya PMKS,” katanya.

Dalam usaha memacu ekonomi, Mohd Faisol memberitahu, kerajaan perlu memperkasa inisiatif sedia ada dan memberi peluang besar kepada PMKS melebarkan perniagaan mereka ke peringkat antarabangsa.

Bagi peniaga-peniaga yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai Tekun atau memohon pinjaman tersebut, boleh layari www.tekun.gov.my.



Ruangan Info Peniaga

Nama: Haniza Ishak

Umur: 41

Asal: Batu Pahat, Johor

Jenis perniagaan: Jualan Makanan

Nama brand: Manisan Jalanan

Masalah: Terpaksa tutup kedai jualan inai kerana Covid-19

Inisiatif belanjawan diterima: Pembiayaan pinjaman Tekun Nasional

Hasil: Pendapatan semakin bertambah selepas beralih arah ke bidang jualan makanan