KOTA BHARU -"Aqif sempat berpaut di tangan saya dan cuba naik ke darat tetapi air terlalu deras," Demikian luahan rakan kepada pelajar Tingkatan Satu yang dikhuatiri lemas selepas mandi di pintu air Pangkal Kalong, Kampung Pagut, Pangkal Kalong Kok Lanas dekat sini pada Rabu.
Mangsa, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, dikatakan mandi kawasan tali air itu bersama tiga rakan lain sebelum didapati hilang dan dikhuatiri lemas.
Shahiran Aidil Shamsuri,14, berkata, dia cuba menarik rakannya itu, namun disebabkan air terlalu deras Muhammad Aqif Aisar hilang dibawa arus.
Menurutnya, ketika mula mandi di situ keadaan air tenang sahaja tetapi tiba-tiba aliran deras sebelum mereka bergerak ke tepi.
"Saya tak sangka Muhammad Aqif Aisar hilang di tali air ini dan berharap dia ditemui.
"Kami memang sering ke sini dan ada masanya kami mandi terutamanya ketika air surut," katanya kepada Sinar Harian.
Media pada Rabu melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu dikhuatiri lemas selepas mandi di pintu air Pangkal Kalong, Kampung Pagut, Pangkal Kalong Kok Lanas, Ketereh.
Penduduk turut mendakwa kejadian lemas berkenaan pertama kali berlaku selepas 10 tahun di lokasi terbabit dan airnya sangat dalam sehingga mencecah enam meter.