Dua pengikut 'Tuhan Harun' terlepas hukuman gantung

Iklan
Hukuman gantung dua pengikut ‘Tuhan Harun’ diganti kepada hukuman penjara selama 40 tahun oleh Mahkamah Persekutuan pada Khamis.

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dua pengikut ‘Tuhan Harun’ terlepas hukuman gantung apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, menggantikannya kepada hukuman penjara 40 tahun, kerana membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), pada 11 tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan permohonan semakan hukuman oleh Sumustapha Suradi, 50, dan Shamsinar Abdul Halim, 47, untuk mengetepikan hukuman gantung yang dikenakan terhadap mereka.

Iklan
Iklan

"Sumustapha dikenakan hukuman penjara itu bermula tarikh tangkap, 27 November 2013 sementara Shamsinar 22 Februari 2014 berserta 12 kali sebatan,” kata Tengku Maimun yang bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nordin Hassan.

Semasa hujahan, peguam, Abdul Rashid Ismail yang mewakili Sumustapha memohon mahkamah mempertimbangkan bahawa, anak guamnya telah dikuasai dan menjadi mangsa kepada seorang lelaki, Harun Mat Saat yang dipanggil ‘Tuhan Harun’.

Iklan

"Lelaki itu bukan hanya menjadi penghasut utama malah dalang di sebalik pembunuhan itu.

"Dia menjadi pemimpin ajaran sesat yang mempunyai pengaruh besar ke atas pengikutnya, termasuk anak guam saya sekali pemohon,” katanya.

Iklan

Walaupun jenayah yang dilakukan Sumustapha adalah serius, namun beliau berkata, mahkamah perlu menilai dari sudut manipulasi dan tekanan psikologi berpanjangan yang dilakukan oleh Harun.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Roshan Karthi Kayan membantah permohonan tersebut dengan alasan pembunuhan yang dilakukan dua pemohon ini, telah dirancang lebih awal.

Menurutnya, mereka berniat untuk menggagalkan penguatkuasa agama dalam membanteras ajaran sesat di Pahang.

"Hukuman pemenjaraan tidak wajar diberikan kerana mereka membawa kesan besar terhadap gerakan penguatkuasaan dalam menghapuskan ajaran sesat.

"Mangsa dibunuh ketika bertugas sebagai pegawai penguasa agama maka hukuman berbentuk pengajaran perlu dikenakan sebagai pengajaran selain melindungi nyawa kakitangan lain ketika bertugas,” katanya.

Pada 2016, dua pesalah ini dikenakan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Kuantan, Pahang selepas didapati bersalah membunuh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIP, Ahmad Raffli Abd Malek.

Ahmad Raffli, 49, ditembak di hadapan rumahnya di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, pada 10 November 2013.

Kedua-dua mereka gagal dalam rayuan selepas Mahkamah Rayuan menolaknya pada 8 Februari 2018.

Ketua kumpulan ajaran sesat itu, Harun Mat Saat atau lebih dikenali sebagai ‘Tuhan Harun’, juga didakwa kerana bersubahat dalam pembunuhan tersebut.

Bagaimanapun, tuduhan ke atasnya digugurkan pada 26 Ogos 2016 selepas dia meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 16 Ogos akibat masalah pernafasan.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman itu selepas menolak rayuan akhir mereka pada 29 November 2018.