Perak martabat bahasa Melayu dalam Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030

Iklan
Saarani (tengah) bersama Dr Maisarah dan Md Johari menunjukkan tiga buku hasil penyelidikan mendalam dalam Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030.

IPOH - Perak menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke arah memartabatkan bahasa Melayu sebagai ilmu bahasa menerusi penerbitan ilmiah di bawah Perak Sejahtera 2030.

Inisiatif itu dimulakan dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Institut Darul Ridzuan (IDR), sebuah badan pemikir kepada kerajaan Perak bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Iklan
Iklan

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kerjasama itu akan membuka ruang lebih luas ke arah usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di negeri ini.

Menurutnya, di bawah inisiatif sama, tiga buku hasil penyelidikan mendalam dalam Siri Penerbitan Perak Sejahtera 2030 diterbitkan yang akan menjadi sumber penting dalam memastikan pembangunan lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Iklan

"Pelancaran buku ini adalah bukti bahawa Perak bukan sahaja fokus kepada pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan intelektual.

"Pastinya terbitan ini akan dijadikan rujukan penting dalam merangka dasar-dasar yang lebih inklusif dan mampan untuk pembangunan negeri yang lebih seimbang," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Malam Jalinan Mesra Perak Sejahtera 2030 serta Majlis Penutup Perak Sejahtera 2030 Summit X Pemikir Darul Ridzuan di Pusat Konvensyen Casuarina pada Rabu.

Saarani menyantuni peserta yang hadir Malam Jalinan Mesra Perak Sejahtera 2030 serta Majlis Penutup Perak Sejahtera 2030 Summit X Pemikir Darul Ridzuan di Pusat Konvensyen Casuarina pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr Maisarah Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah DBP, Md Johari Hasan.

Tiga buku tersebut masing-masing bertajuk 'Potensi dan Laluan Kerjaya TVET'; 'Celik Tulis: Santuni Murid Orang Asli' dan 'Sisa Menjadi Sumber: Strategi Ekonomi Kitaran'.

Pada majlis sama, IDR turut memeterai MoU dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam usaha mengukuhkan agenda Koridor TVET Malaysia.

Saarani berkata, IDR dan PERKESO sedang membangunkan sebuah dashboard yang menyediakan statistik tenaga buruh dan analisis komprehensif mengenai pelaksanaan program TVET.

"Dashboard ini akan memberi gambaran jelas kepada pembuat dasar mengenai peluang dan cabaran dalam pelaksanaan program TVET," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf peranan dan kerjasama oleh Pemikir Darul Ridzuan yang menyatukan ilmuan dari pelbagai bidang, mempunyai kepakaran dan pengalaman.

Katanya, melalui projek, kajian dan analisis yang berkaitan dengan perkembangan sosioekonomi negeri, termasuk isu-isu seperti kemiskinan, ekonomi digital, pendidikan dan kesejahteraan rakyat, ia membantu kerajaan memahami senario semasa dan merangka polisi yang lebih berkesan.

"Kita sangat menghargai peranan besar pemikir dan cendekiawan dalam pembangunan negeri.

"Perak Sejahtera 2030 bukan sekadar satu blueprint pembangunan fizikal atau ekonomi, tetapi dibina atas landasan pemikiran strategik," katanya.