'Kereta dihimpit, dua kali cuba digilis'

Iklan
Tangkap layar kejadian tular buli jalan raya menyebabkan kaki seorang lelaki dilanggar sehingga retak.

SHAH ALAM - Perbuatan buli seorang pemandu jalan raya memakan diri apabila suspek ditahan pihak polis pada Rabu.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa lelaki yang merupakan seorang jurulatih kapal laut telah dilanggar suspek dalam satu kejadian buli jalan raya pada Ahad, jam 9.45 malam.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa berusia 49 tahun menyatakan dia telah didatangi sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipandu suspek secara melulu, seterusnya menghimpit kenderaan yang sedang dipandu.

Iklan

Kata beliau, mangsa menaiki kereta jenis Volkswagen bersama isteri dan seorang anak perempuan.

Tangkap layar kejadian tular buli jalan raya menyebabkan kaki seorang lelaki dilanggar sehingga retak.

Menurutnya, suspek juga bertindak memberhentikan keretanya secara tiba-tiba di hadapan kenderaan mangsa.

Iklan

"Suspek telah datang ke arah kereta mangsa dan mengetuk cermin tingkap sebelah pemandu. Suspek cuba menarik anak kunci kereta semasa mangsa membuka pintu, namun tindakan itu tidak berjaya.

"Semasa mangsa keluar dari keretanya, telah berlaku pertengkaran mulut dengan suspek. Suspek kemudian masuk semula ke dalam kenderaannya dan cuba melanggar mangsa sebanyak dua kali," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mohd Iqbal berkata, cubaan suspek melanggar mangsa pada kali pertama berjaya dielak, namun tidak pada tindakan kali kedua.

Jelasnya, mangsa telah dilanggar sehingga terjatuh menyebabkan kaki kanan mangsa digilis dengan tayar kenderaan suspek.

Selepas melakukan tindakan itu, katanya, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaannya.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan keretakan kecil di kaki kanan dan telah mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam.

Bertindak atas maklumat, kata beliau, pihak polis telah membuat tangkapan ke atas suspek bersama rampasan sebuah kenderaan jenis Vios yang dipandu suspek di Meru, Klang, Selangor, jam 5.30 petang.

"Tangkapan merupakan seorang lelaki berusia 26 tahun dan bekerja sebagai penjual komponen kenderaan.

"Suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah, namun hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis Benzo," ujarnya.

Tambahnya, reman ke atas suspek telah dimohon di Mahkamah Shah Alam pada Khamis.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat, ASP Md Anuar Md Amilah di talian 019-2255597," ujarnya.