DUNGUN - Imam Pusat Hidayah Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak dapat menahan rasa sayu dan bacaan doa terhenti beberapa kali selepas solat jenazah tiga pelajar universiti yang terkorban dalam kemalangan, pada Rabu.
Muhammad Adam Ali berkata, dia pertama kali menjadi imam bagi solat jenazah untuk tiga kematian akibat nahas yang tragis.
Menurutnya, ketika solat jenazah tersebut, dia terbayang wajah ahli keluarga mangsa yang dianggap seusia anaknya.
"Sepanjang menjadi imam selama 10 tahun, ini kali pertama saya mengimamkan jumlah jenazah yang ramai dan melibatkan kematian yang tragis.
"Lebih memilukan saya, ketiga-tiga jenazah adalah pelajar yang dalam proses menuntut ilmu, jadi ketika solat jenazah tadi, timbul rasa sebak dan sedih memikirkan kematian mereka malam tadi," katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat jenazah di Pusat Hidayah UiTM, di sini pada Khamis.
Dianggarkan, solat jenazah tiga mangsa kemalangan itu dihadiri lebih 1,000 orang manakala seramai 1,000 lagi membanjiri pekarangan Pusat Hidayah tersebut.
Pada malam Rabu, tiga penuntut UiTM itu maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 malam di hadapan pintu masuk universiti berdekatan Kampung Sura Hujung, di sini.
Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun.
Seorang lagi mangsa Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 turut meninggal dunia di lokasi kecederaan akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
Mangsa yang cedera Mohd Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, masih dirawat di Hospital Dungun.