KOTA BHARU - Tidak sampai 20 minit solat hajat dilakukan di Pintu Air Pangkal Kalong, Kok Lanas, Ketereh, remaja lelaki yang dilaporkan hilang di lokasi itu ditemukan sekumpulan anggota penyelamat.
Mayat pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Kalong, Muhammad Aqif Aisar Azrie Faisal, 13, ditemukan lemas kira-kira jam 11.30 pagi selepas 18 jam dilaporkan hilang.
Usaha dilakukan ahli keluarga dengan mengadakan solat hajat membabitkan kira-kira 20 jemaah termasuk penduduk kampung sebelum mayat ditemukan lebih 100 meter dari lokasi kejadian.
Suasana di Pintu Air Pangkal Kalong itu diselubungi tangisan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat mangsa yang tidak dapat menahan sedih dengan kejadian itu
Ibu dan bapa Allahyarham Muhammad Aqif Aisar, Nurafidah Mohd Yusuf, 31 dan Azrie Faisal Abd Aziz, 31 turut mengiringinya selain ahli keluarga terdekat.
Sementara itu, Pegawai Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Kelantan, Khairul Ariffin Che Ramli berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan lebih jauh sejak awal pagi iaitu pada radius 100 meter.
"Operasi hari ini membabitkan 21 anggota bomba termasuk 10 Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk tindakan lanjut.