SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun yang maut dalam nahas jalan raya membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta di Jalan Pantai Sura di Dungun, malam Rabu.
Anwar menerusi catatan di aplikasi X, turut mendoakan semoga keluarga mangsa tabah menghadapi ujian dan mendapat keadilan sewajarnya.
"Salam takziah buat seluruh ahli keluarga pelajar UiTM Dungun yang kembali ke rahmatullah malam tadi.
"Kes yang sangat menyayat hati dan saya sendiri terkesan akan kejadian ini. Semoga keluarga tabah hadapi dugaan ini dan mendapat keadilan sewajarnya," katanya.
Pada malam Rabu, tiga penuntut UiTM berkenaan dilaporkan maut manakala seorang lagi rakan cedera selepas motosikal Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita.
Mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, turut meninggal dunia di lokasi berkenaan akibat patah tulang leher dan cedera pada bahagian kepala serta dada.
Jenazah Muhammad Akmal dibawa pulang ke Muar, Johor dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru, Batu 18, Ayer Hitam manakala jenazah Khairil Anwar, akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UK Perdana, Ampang, Selangor.
Jenazah Ku Adib Aizad pula akan dibawa pulang ke Sungai Buloh, Selangor manakala Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur masih mendapat rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.