Lubuk warga asing lampias nafsu digempur

Iklan
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan berkenaan.

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kotor dan meloyakan, itu antara keadaan sekitar kawasan deretan bangunan rumah kedai usang dipercayai menjadi sarang kegiatan pelacuran warga asing dekat Jalan Kem di sini yang diserbu pada Khamis.

Lokasi dipercayai menjadi lubuk warga asing untuk melampiaskan nafsu itu dikesan menerusi serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Iklan
Iklan

Bilik-bilik kecil dipercayai menjadi tumpuan wanita warga asing untuk mencari pendapatan tambahan dengan menawarkan khidmat seks.

Deretan rumah kedai usang yang dibahagikan kepada bilik-bilik kecil itu juga dipercayai menjadi tumpuan wanita warga asing untuk mencari pendapatan tambahan dengan menawarkan khidmat seks.

Iklan

Kadar serendah RM50 untuk setiap kali satu jam layanan menjadi pilihan warga asing walaupun dalam keadaan sempit serta ruang pengudaraan yang tidak sempurna.

Selain itu, setiap gadis itu dipercayai dibayar antara RM100 hingga RM500 bergantung kepada pakej ditawarkan sebelum pelanggan dibawa ke bilik-bilik yang terdapat di sekitar lokasi berkenaan.

Iklan

Deretan bangunan rumah kedai usang yang dijadikan lokasi kegiatan tidak bermoral pada Khamis.

Sinar Harian yang berpeluang menyertai operasi ini turut mendapati terdapat premis berselindung sebalik kegiatan menjual peralatan telekomunikasi namun masa sama menawarkan bilik-bilik untuk disewa dipercayai bagi perkhidmatan seks.

Beberapa individu warga asing dipercayai pelanggan dan pekerja seks turut bertindak mengunci pintu serta bersembunyi di stor dan tandas selain ada yang cuba melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Bagaimanapun tindakan itu gagal apabila sekitar lokasi terbabit telah dikepung serta pemeriksaan teliti dijalankan anggota Imigresen yang terlibat.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Imigresen Malaysia, Jafri Embok Taha berkata, operasi melibatkan seramai 78 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Putrajaya.

Beliau berkata, operasi dijalankan susulan risikan selama tiga bulan di sekitar lokasi dipercayai menawarkan kegiatan tidak bermoral ini.

"Hasil operasi dan serbuan menahan seramai 60 individu terdiri 58 warga asing dan dua individu tempatan.

"Keseluruhan individu warga asing yang ditahan terdiri daripada 28 lelaki dan 30 wanita melibatkan antaranya warga Indonesia, Bangladesh, Pakistan dan India," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas operasi di Jalan Kem, Pelabuhan Klang pada Khamis. Katanya, lokasi ini dipercayai menjadi tumpuan warga asing terutamanya pada hujung minggu.

"Siasatan awal mendapati mereka yang ditahan dipercayai pelanggan dan ada juga menjalankan kegiatan menawarkan seks.

"Kegiatan tidak bermoral ini dipercayai dijalankan lebih dua tahun lalu dan pihak Imigresen turut menerima pelbagai aduan awam berkaitannya," katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan ini melibatkan serbuan sebanyak 20 buah rumah yang dipercayai menjadi sarang pelacuran.

"Risikan sebelum ini mendapati lokasi ini melibatkan seramai 30 hingga 40 wanita warga asing yang dipercayai menawarkan perkhidmatan seks.

"Antara kesalahan dikesan dalam operasi ini melibatkan tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan dibawah Seksyen 55E dan Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen dengan membenarkan PATI tinggal dalam premis dan melindungi migran haram," katanya.

Tambahnya, kesemua individu ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Pekan Nanas Johor.