KEPALA BATAS - Satu laporan polis telah dibuat oleh Sekolah Menengah Chung Ling (Persendirian) berikutan spekulasi kunjungan tentera China ke sekolah berkenaan seperti yang tular di media sosial.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, laporan polis itu dibuat bagi mengelak salah faham dan fitnah berpajangan pihak tertentu berhubung kunjungan pelatih-pelatih dari Naval University of China ke sekolah berkenaan baru-baru ini.
Menurutnya, program pertukaran kebudayaan dan sukan yang dianjurkan itu adalah kunjungan silaturahim sempena hubungan diplomatik Malaysia-China 50 tahun.
"Saya ingin betulkan, ia bukan kehadiran tentera sebaliknya ia adalah kehadiran pelajar universiti dan kenyataan kononnya kehadiran tentera China tidak betul sama sekali dan ia telah pun memberikan salah faham yang banyak dalam masyarakat.
"Program yang melibatkan pelajar universiti dan juga sekolah persendirian tersebut telah pun mendapat kebenaran daripada semua pihak autoriti yang memberikan kebenaran terkait dengan program tersebut.
"Jadi tidak timbul soal tentera China datang, itu tidak timbul sama sekali dan kita memberi perhatian penuh kepada isu ini dan sebab itu untuk mengelakkan salah faham dan fitnah-fitnah yang berpanjangan ini pihak sekolah telah membuat laporan polis,"katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup persidangan kebangsaan pengurusan pendidikan pengetua sekolah Malaysia kali ke-62.
Sabtu lalu, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri itu menaiki dua kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) dan pelatihnya dibawa melawat beberapa tempat menarik di Pulau Pinang dan turut berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan berkenaan.
Namun, ia mendapat kritikan di media sosial susulan kunjungan mereka ke satu majlis di Sekolah Menengah Chung Ling (persendirian) di sini selepas tular di beberapa platform sosial media termasuk TikTok.