'Arwah baru hadiahkan ibunya emas minggu lepas'

Iklan
Norma sebak ketika menunggu jenazah anaknya di Unit Forensik Hospital Dungun pada Khamis.

DUNGUN - Mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan Honda CRV dengan dua buah motosikal pada malam Rabu lalu sempat menghadiahkan ibunya emas dan membelanjakan wang hasil simpanan gaji untuk penginapan ketika keluarganya itu menghantar masuk ke universiti bagi memulakan semester baharu.

Jamaludin Hussin, 53, yang merupakan bapa kepada arwah Khairil Anwar, 20, berkata, anaknya itu menghabiskan cuti semesternya selama dua bulan dengan bekerja secara sambilan di kiosk minuman sebuah pasar raya di Ampang, Selangor.

Iklan
Iklan
Jamaludin

Menurutnya, mereka sekeluarga tidak menyangka, pemberian emas kepada ibunya, Norma Mohamed Nor, 52 merupakan pemberian terakhir sebelum anak bongsu daripada lima beradik itu pergi buat selamanya.

"Arwah jarang membelanjakan wang yang banyak sebelum ini, tapi ketika saya dan isteri hantar dia pulang ke kampus hujung minggu lalu, dia turut membelanjakan wang gajinya untuk membayar bilik penginapan kami dan belanja kami makan.

Iklan

"Kami juga agak terkejut dan tak sangka dia ada beli emas dan itu pemberian terakhir untuk ibunya," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini pada Khamis.

Mengimbau kenangan terakhir bersama, Jamaluddin berkata, kali terakhir mereka berhubung ketika anaknya berkongsi video masakannya kepada ibunya, iaitu beberapa jam sebelum kemalangan.

Iklan

"Khairil seorang anak yang pandai berdikari. Petang semalam dia ada hubungi ibunya untuk berkongsi video dia memasak nasi goreng. Dia memang pandai dan rajin memasak di kampus untuk berjimat," katanya.

Jamaludin (tengah) membawa jenazah anaknya ketika proses membawa pulang dari Unit Forensik Hospital Dungun pada Khamis.

Dalam pada itu, Jamaluddin menyatakan Khairil Anwar merupakan insan kedua pergi dalam keluarga selepas anak sulungnya juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya tujuh tahun lalu.

"Saya pernah kehilangan seorang lagi anak lelaki iaitu anak sulung saya, Muhammad Khairul Izzudin pada bulan Oktober tujuh tahun lalu.

"Saya memang tak sangka peristiwa sama akan berulang dan kini saya telah kehilangan kedua-dua anak lelaki saya," luahnya sebak.

Malam Rabu lalu, tiga penuntut UiTM Kampus Dungun maut manakala seorang lagi cedera selepas dua buah motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah Honda CRV yang dipandu seorang wanita berusia 49 tahun, di hadapan kampus mereka.

Selain Khairil Anwar, dua lagi mangsa yang maut ialah Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25.

Difahamkan, ketika kejadian keempat-empat mangsa sedang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas selesai beriadah dan menikmati makan malam.