GISBH: Ahmad Fauwaz ketuai jawatankuasa khas sukatan pelajaran pemulihan akidah

Iklan
Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR - Sarjana Islam yang juga Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Ali@Fadzil dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas bagi menyediakan sukatan pelajaran pemulihan akidah mangsa dan pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai lima lagi pakar dalam bidang akidah.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sukatan pelajaran pemulihan itu juga memfokuskan kepada kaedah dan cara yang sesuai untuk memulihkan fahaman akidah mangsa serta pengikut GISBH, khususnya kanak-kanak.

"Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) memang ada modul pemulihan akidah termasuk untuk pengikut-pengikut Al-Arqram... cuma sukatan pelajaran dan modul untuk golongan dewasa.

Iklan

"Jadi kita belum ada lagi sukatan pelajaran modul khusus untuk anak anak, jadi saya telah amanahkan Ustaz Fauwaz dan lima anggota yang juga pakar akidah untuk membangunkan sukatan pelajaran berkenaan supaya kita dapat memulihkan akidah pengikut dewasa serta anak-anak,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri World Quran Symposium 2024 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-64 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Iklan

Awal September lepas, polis melancarkan Op Global dan menyerbu rumah amal di seluruh Semenanjung yang dikaitkan dengan GISBH kerana disyaki terbabit dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama. Sehingga kini, lebih 600 kanak-kanak dan remaja berjaya diselamatkan.

Mohd Na'im berkata, jawatankuasa khas itu diberikan tempoh dua bulan untuk membangunkan sukatan pelajaran berkenaan dan dijangka digunakan seawal hujung November ini.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian simposium itu, Mohd Na'im berkata, pendedahan, pengajaran, dan penghayatan al-Quran mesti diterapkan sebagai pengetahuan asas dalam kalangan generasi muda untuk menguatkan iman dan sahsiah dalam kalangan belia Muslim.

Beliau berkata, kepentingan al-Quran sebagai sumber pembangunan tamadun sudah terbukti sejak sekian lama dan berperanan sebagai asas bagi kemunculan tamadun berasaskan ilmu pengetahuan.

"Oleh itu, adalah penting untuk memahami serta menghayati ajaran al-Quran sebagai sumber utama dalam usaha membangun tamadun yang bukan hanya merangkumi aspek fizikal dan material malah turut mengintegrasikan dengan aspek spiritual dan moral.

"Melalui ajaran al-Quran dengan asas ilmu pengetahuan yang kukuh, seseorang Muslim, khususnya belia pasti mampu membina kekuatan dan ketahanan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan," katanya. - Bernama