Serantau Muslim salur bantuan kecemasan, buka klinik bergerak di Lubnan

Iklan
Antara kit kecemasan yang dihantar Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim ke Lubnan. Gambar kecil: Mohd Hakim

SHAH ALAM - Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menyalurkan bantuan kecemasan berjumlah RM50,000 kepada Lubnan bagi membantu mangsa yang terjejas akibat konflik di negara berkenaan.

Pengerusi Serantau Muslim, Mohd Hakim Mohd Nor berkata, sumbangan tersebut melibatkan bantuan makanan panas siap dimasak, makanan sedia dimakan, kit kebersihan dan kit tidur.

Iklan
Iklan

"Selain itu, kami turut membuka klinik bergerak untuk memberi khidmat kepada mangsa-mangsa terselamat dan terjejas selain berperanan merawat, beri ubatan dan konsultasi.

"Serantau Muslim menyeru kepada seluruh masyarakat untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Lubnan, serta menyumbang untuk membantu usaha mengurangkan beban mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini media melaporkan, selepas setahun melancarkan serangan bertubi-tubi di Gaza, rejim zionis kini menumpu kepada Lubnan dengan menyasarkan Hizbullah iaitu sekutu Hamas.

Menurut data rasmi, hampir 2,000 orang terbunuh di Lubnan sejak Oktober 2023, termasuk lebih 1,000 kematian yang direkodkan sejak Israel meluaskan serangan ke wilayah di selatan dan timur.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Hakim memaklumkan, pertubuhan itu juga sedang mengagihkan bantuan di pusat-pusat penempatan mangsa terselamat di Bekaa, Lubnan, sebagai simbol kebersamaan rakyat Malaysia terhadap penderitaan mangsa di negara itu.

Malah menurutnya, Lubnan kini ibarat jatuh ditimpa tangga akibat serangan Israel ketika negara itu masih dilanda krisis ekonomi dengan kejatuhan nilai mata wang.

"Bukan sekadar simpati kepada Palestin, Lubnan juga merupakan tuan rumah kepada lebih 1.5 juta pelarian Syria, menjadikannya negara dengan nisbah pelarian tertinggi di dunia berbanding penduduk tempatan.

"Kehadiran pelarian dalam jumlah yang besar ini menambah tekanan kepada sumber dan infrastruktur negara yang sudah tertekan.

"Semangat Lubnan yang terkedepan dalam membela nasib Palestin dan Syria selama ini perlu kita hormati," ujarnya.