Ikon perniagaan India, Ratan Tata meninggal dunia pada usia 86 tahun

Iklan
Ratan Tata

NEW DELHI - Ratan Tata, tokoh perniagaan India dan bekas pengerusi konglomerat Tata Group meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Tata menerajui Tata Sons, syarikat induk Tata Group selama 21 tahun dan dihormati sebagai antara pemimpin perniagaan paling berpengaruh di India.

Iklan
Iklan

"Dengan rasa dukacita yang mendalam, kami mengumumkan Ratan yang dikasihi telah meninggal dunia,” menurut kenyataan keluarganya.

Orang ramai berkumpul untuk memberi penghormatan terakhir di Pusat Seni Persembahan Kebangsaan (NCPA) di Mumbai pada Khamis. Foto AFP

Konglomerat ini mengawal syarikat-syarikat yang terlibat dalam pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk garam, keluli, perisian, syarikat penerbangan, tenaga, bahan kimia, telekomunikasi, hotel dan sistem ketenteraan.

Iklan

Tata, meninggal dunia di sebuah hospital di Mumbai pada Rabu dan akan diberikan penghormatan negara dalam upacara pengebumian sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya.

Sebagai ahli komuniti kecil Parsi Zoroastrian, Tata memainkan peranan penting dalam pengembangan global Tata Group pada 1990-an, sewaktu India beralih ke arah ekonomi yang lebih terbuka selepas beberapa dekad kawalan ketat negara yang dikenali sebagai 'licence raj'.

Iklan

Di bawah kepimpinannya, Tata Group menceburi sektor baharu dan membuat pemerolehan berprofil tinggi termasuk jenama kereta mewah British, Jaguar dan Land Rover pada 2008, perjanjian Teh Tetley pada 2000, serta pembelian pengeluar keluli Anglo-Belanda, Corus pada 2007.

Beliau mengambil alih tampuk kepimpinan pada Mac 1991 daripada bapa saudaranya, Jehangir Ratanji Dadabhoy Tata, yang dikenali sebagai J.R.D. Tata, yang memimpin kumpulan itu selama 50 tahun selepas ia diasaskan oleh Jamsetji Nusserwanji Tata pada 1868.

Setelah berkhidmat sebagai pengerusi dari 1991 hingga 2012, Ratan Tata dianugerahkan gelaran kehormat Pengerusi Emeritus bagi Tata Sons, Tata Industries, Tata Motors, Tata Steel, dan Tata Chemicals.

"Bagi Tata Group, beliau lebih daripada sekadar seorang pengerusi. Bagi saya, beliau adalah mentor, pembimbing, dan sahabat. Beliau memberi inspirasi melalui teladan,” kata Natarajan Chandrasekaran, pengerusi kumpulan semasa.

Tata sangat dikagumi kerana gaya kepimpinannya yang tetap berpegang kepada nilai tradisional walaupun dunia perniagaan India semakin sesak dengan kemunculan hartawan baharu yang dikenali sebagai 'Bollygarchs'.

Golongan elit politik dan ahli perniagaan turut bersedih atas pemergiannya menerusi catatan di media sosial.

Perdana Menteri India, Narendra Modi menyifatkan Tata sebagai pemimpin perniagaan yang berwawasan, jiwa yang penuh belas kasihan dan seorang insan luar biasa, sambil memuji sumbangannya kepada masyarakat.

"Beliau disayangi kerana kebaikan dan kerendahan hati serta komitmennya yang teguh untuk menjadikan masyarakat kita lebih baik,” kata Modi.

Sementara itu, Presiden Kongres Kebangsaan India, Mallikarjun Kharge menyifatkan Tata sebagai insan bernilai bagi India yang komited kepada pertumbuhan inklusif.

"Beliau adalah inspirasi kepada jutaan orang dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara," kata Kharge.

Tata juga dikenang kerana inisiatif dermawannya, termasuk sumbangan besar dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

Universiti Cornell di Amerika Syarikat, tempat Tata menerima ijazah dalam bidang seni bina pada 1962, menyifatkan beliau sebagai penyumbang antarabangsa paling dermawan bagi institusi itu.

Antara projek Tata yang paling terkenal ialah pelancaran Tata Nano, sebuah kereta kecil mampu milik.

Walaupun mendapat sambutan awal, pengeluarannya dihentikan pada 2019 akibat pelbagai cabaran, termasuk jualan yang rendah dan peraturan baharu.

Namun, legasi Tata akan dikenang atas keupayaannya merebut peluang besar bagi pemerolehan antarabangsa dan pengembangan domestik, sambil mengekalkan komitmen kumpulan terhadap kebajikan pekerja dan kegiatan dermawan.

Sepanjang hidupnya, Tata menyaksikan perubahan besar di India, dari sekatan ketat terhadap pemindahan mata wang yang menyukarkan pembiayaan pelajarannya di luar negara, hingga menjadi pemimpin konglomerat terkemuka. - Bernama