SHAH ALAM - Individu yang disahkan menghadapi masalah kesihatan mental perlu mendapatkan rawatan atau pemulihan seimbang dengan faktor utama seperti spiritual, psikologi, sosial dan biologi.
Konsultan Psikologi Organisasi, Dr Alizi Alias berkata, untuk memastikan kesembuhan yang lebih holistik dan menyeluruh kesemua aspek itu wajib dititikberatkan.
"Punca terjadinya masalah kesihatan mental ini ada empat iaitu psikologi (kognitif, emosi), sosial (pergaulan, pengalaman, tempat kerja, persekitaran dan media sosial), biologi (genetik, hormon, kesakitan fizikal) dan spiritual (keimanan dan ibadah).
"Semua ini boleh jadi punca, kadang-kadang hanya dua atau tiga sahaja. Jadi, tidak adil jika kita kata orang yang ada masalah kesihatan mental ini kurang iman mungkin ada tetapi tak semestinya itu sahaja puncanya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Kesihatan Mental: Dosa, Takdir atau Ujian? yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Karangkraf pada Selasa.
Forum itu dikendalikan Amin Idris sebagai moderator dan turut disertai dua panelis lain iaitu Ahli Jawatan Kuasa Multaqa Asatizah dan Du’at Malaysia (Murshid), Abdullah Bukhari Abdul Rahim dan Pengerusi MeCare, Areefah Ahmad.
Mengulas lanjut, Alizi memaklumkan, individu yang mahu membantu pesakit masalah mental perlu mengetahui cara yang betul dan tidak boleh melakukan paksaan untuk berjumpa pakar atau doktor.
"Orang yang nak pujuk perlu tahu kaedah betul untuk mendekati pesakit mental. Ahli keluarga atau sahabat tak boleh paksa, kena bina kepercayaan dahulu seperti ajak makan dan luang masa bersama. Daripada situ dia akan mula mempercayai kita seterusnya meluahkan perasaan dan bertanya pendapat.
"Jadi, pada saat itulah kita boleh cadangkan kepada dia untuk mendapatkan rawatan dengan berjumpa pakar atau doktor. Jangan gunakan tomahan negatif memaksa kerana bimbang dia semakin tertekan dan melarikan diri," jelas beliau.