Jenazah Ku Adib tiba di Masjid An Nur, Saujana Utama

Iklan
Jenazah Allahyarham Ku Adib tiba di Masjid An Nur, Saujana Utama di sini kira-kira jam 4.10 petang Khamis.

SUNGAI BULOH - Jenazah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, tiba di Masjid An Nur, Saujana Utama di sini pada Khamis.

Van membawa jenazah Ku Adib tiba kira-kira jam 4.10 petang dan akan disolatkan sekali lagi selepas Asar.

Iklan
Iklan

Ratusan ahli keluarga, saudara mara dan rakan kepada Allahyarham Ku Adib hadir bagi memberi penghormatan terakhir.

Terdahulu, jenazah Ku Adib disembahyangkan di Pusat Hidayah, UiTM Dungun dan dibawa menaiki van jenazah UiTM ke masjid berkenaan.

Iklan

Jenazah dijangka dikebumikan selewat-lewatnya malam ini bagi menunggu ketibaan kedua ibu bapa Ku Adib, Hafizah Iszahanid dan suaminya, Ku Azmi Saad yang kini dalam perjalanan pulang dari Jeddah.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dipandu seorang wanita, malam Rabu.

Iklan

Sewaktu kejadian, Ku Adib, Khairil Anwar Jamaludin, 20, Mohd Akmal Tukirin, 25, dan Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makan malam bersama, bagaimanapun sebaik tiba di pintu hadapan kampus, motosikal dinaiki kesemua mangsa dirempuh dari arah belakang.

Rempuhan itu menyebabkan empat penuntut tersebut tercampak, manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.