POKOK SENA - Mangsa banjir di negeri ini dinasihatkan agar segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya paras air semakin tinggi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin berkata, ini kerana pasukan penyelamat menghadapi kesukaran jika operasi penyelamatan dilakukan pada waktu malam.
Selain itu katanya, keadaan yang gelap dan lokasi yang mempunyai banyak longkang dan parit juga boleh membahayakan keselamatan penduduk dan anggota penyelamat.
"Ia memerlukan kepakaran anggota penyelamat itu sendiri untuk mengendalikan bot bagi penyelamatan terutama pada waktu malam.
"Jika boleh, berpindah lah pada waktu siang supaya operasi selamat dilakukan dan mangsa dihantar ke PPS," katanya ketika ditemui sewaktu melakukan pemantauan di kawasan Derang, Pokok Sena, di sini pada Khamis.
Menurutnya, memandangkan kebanyakan penduduk telah melalui pengalaman ketika menghadapi gelombang banjir pertama dan kedua pada bulan lalu jadi sebahagian besar penduduk berpindah sendiri ke PPS selepas rumah mereka dinaiki air.
"Hanya segelintir mangsa yang enggan memberi kerjasama kepada pasukan penyelamat ketika operasi pemindahan dilakukan.
"Jelasnya, itu antara cabaran yang terpaksa mereka lalui ketika operasi dilakukan dan perlu memberi penerangan dengan jelas berkaitan banjir supaya mereka berpindah.
"Kita bimbang paras air akan terus meningkat di kawasan itu dan menyukarkan anggota penyelamat untuk memindahkan mereka dengan segera," katanya.
Wan Mohd Hamizi berkata, hampir 1,000 pegawai dan anggota JBPM Kedah bertugas sejak banjir gelombang pertama dan kedua sehingga hari ini dengan aset yang digunakan mencukupi selain bantuan daripada 44 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di negeri ini.