[VIDEO] 23 harta GISBH bernilai RM52.4 juta dikesan di luar negara

Iklan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperoleh maklumat berkaitan 23 harta milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di luar negara yang melibatkan 10 negara dengan anggaran nilai RM52,441,616.

10 buah negara itu terdiri daripada negara yang berada di rantau Asia Tenggara, Timur Tengah, dan Eropah.

Iklan
Iklan
Mohd Shuhaily

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya masih menunggu pengesahan harta tersebut dari negara yang terlibat bagi tindakan lanjut pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613.

"Kita masih mengumpul maklumat daripada pihak berkuasa luar negara berkaitan aset-aset GISBH yang berada di luar negara.

Iklan

"Tindakan susulan kita adalah melakukan pembekuan dan penyitaan di bawah Akta 613 termasuk bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, di sini, pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya menggunakan pendekatan melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan pihak berkuasa negara terlibat.

Iklan

"Kita telah mendapat maklum balas daripada rakan sekerja (pihak berkuasa) yang memaklumkan ada tiga premis telah berhenti beroperasi.

"Papan tanda premis itu juga telah diturunkan, malah tingkap juga telah ditutup dengan plastik hitam," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya belum menerima maklumat berkaitan ahli GISBH di negara tersebut.

"Sebelum ini, dimaklumkan sebanyak 19 negara yang ada premis GISBH, kita masih menunggu maklum balas daripada sembilan lagi pihak berkuasa berkuasa," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, PDRM telah melaksanakan pembekuan pelbagai harta di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) berjumlah RM17 juta.

"Tindakan penyitaan pelbagai harta juga dilaksanakan di bawah Seksyen 45(2) Akta AMLATFPUAA 2001 Akta 613 berjumlah RM2.8 juta, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan harta-harta di bawah Akta 613 adalah RM19 juta," katanya.

Pada 3 Oktober lalu, media melaporkan, lebih 200 akaun bank milik GISBH dibekukan PDRM dengan nilai mencecah RM1.35 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, tindakan pembekuan itu membabitkan 205 akaun bank bernilai RM1.35 juta dan satu akaun bernilai AS$1,344.26 (RM5,688.80).

Selain itu, pihak polis turut membekukan pelbagai aset iaitu 31 buah kereta dan bas pelbagai guna serta 19 lot tanah.

Pihak polis turut menyita 19 buah kereta, sebuah lori, wang RM16,850, dua utas jam tangan serta haiwan.