Fokus aksi, elak tekanan berlebihan

Iklan
Vikneswaran

SKUAD hoki remaja lelaki negara perlu mempamerkan aksi berkualiti tinggi tanpa mengendahkan sebarang tekanan dalam misi memburu posisi terbaik pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Johor Bahru bermula 19 Oktober ini.

Biarpun enggan meletakkan sebarang sasaran spesifik namun ketua jurulatihnya, I Vikneswaran mahu anak buahnya fokus kepada permainan dengan menterjemahkan segala taktikal yang diterapkan dalam latihan pada aksi sebenar di Stadium Hoki Taman Daya minggu depan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, skuad Young Tigers mahu fokus satu demi satu perlawanan dengan aksi pertama menentang New Zealand sebagai tanda aras buat pasukan untuk pergi jauh pada kejohanan edisi ke-12 tersebut.

"Memang ada sasaran, tetapi saya tidak mahu memberi tekanan kepada para pemain. Ini adalah proses, kita sudah membuat persediaan rapi. Apa yang perlu kita fokus ialah sinergi, bersatu teguh bercerai roboh. Sama-sama berganding bahu berikan yang terbaik.

Iklan

"Pamerkan permainan berkualiti tinggi dan secara terhormat. Kita berharap proses ini dapat berjalan dengan lancar. Buat banyak percubaan yang menarik dan terjemahkan dengan jaringan," katanya di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Khamis.

Vikneswaran.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan 20 pemain yang bakal mengalas cabaran negara pada kejohanan yang bermula 19 hingga 26 Oktober ini.

Iklan

Malaysia akan membuka tirai kejohanan menentang New Zealand pada 19 Oktober disusuli Jepun pada keesokkannya.

Skuad Young Tigers juga akan berdepan India pada 22 Oktober, Great Britain (23 Oktober) dan aksi terakhir menentang Australia pada 25 Oktober.

Pasukan muda negara akan dibarisi oleh sembilan pemain yang pernah beraksi pada Kejohanan Remaja Dunia edisi lalu iaitu Mohamad Rafaizul Mohamad Saini, Muhammad Danish Afnan Mohd Faizal, Andywalfian Jeffrynus dan Muhammad Danish Danial Abdul Wahab.

Lima pemain lain ialah Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari, Muhammad Addy Jazmi Jamlus, Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar dan Mohammad Harris Iskandar Osman.

Turut membarisi skuad negara ialah Muhammad Handzalah Abdul Hadi, Aiman Safwan Hisham, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Yadiy Mohamad Saifuddin, Naaveennash Panicker dan Mohamad Zulhanif Safran.

Pemain lain ialah Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee, Disairul Fazrien Muhammad Nazrien, Khairul Amirin Mohd Kamarul Azlan dan Muhammad Khairul Norizam.

"Saya boleh katanya, ini skuad terbaik yang kita ada untuk mengalas cabaran negara di SOJC.

"Mana-mana kejohanan akan ada tekanan, namun saya mahu melihat daripada sudut positif yang mampu meningkatkan prestasi pasukan," ujar Vikneswaran.

Beliau memberitahu, pasukan negara akan mengadakan tiga aksi pemanas badan menjelang kejohanan tersebut apabila akan berdepan New Zealand, Great Britain dan India di Johor Bahru.

"Kita tidak pernah menentang pasukan-pasukan ini. Diharapkan para pemain dapat mengutip pengalaman berharga selain memberi peluang buat barisan kejurulatihan menilai kemampuan skuad sebelum pertandingan sebenar," katanya.