ALOR SETAR - Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) berharap Belanjawan 2025 memberi penekanan kepada kebajikan mahasiswa, pemerkasaan belia dan masa depan pendidikan.
Presiden MPPK, Syahril Ahmad Sofian berkata, ia juga diharap turut merangkumi perancangan untuk pengembangan masa depan dalam sektor yang memberi kesan positif kepada generasi muda.
Menurutnya, antara yang perlu diberikan tumpuan ialah memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Peruntukan RM6.8 bilion tahun lalu untuk menyokong TVET menunjukkan komitmen tinggi terhadap pendidikan praktikal dan kemahiran industri. Walaupun ia langkah baik, saya percaya lebih banyak reformasi diperlukan untuk bina semula keseluruhan sistem pendidikan negara.
"Antaranya memperluaskan tempoh latihan atau beralih kepada model pendidikan koperatif (Co-op), di mana mahasiswa bergilir menjalani tempoh pengajian akademik, penempatan kerja dan latihan amali untuk memperoleh pengalaman jangka panjang, menjadikan mereka memiliki nilai tambah dan fokus,” katanya.
Menurutnya, reformasi berkenaan tidak perlu merangkumi keseluruhan bidang akademik, penekanan hanya kepada kursus berkaitan pengetahuan praktikal dan kemahiran industri.
"Ia bagi menyokong usaha kerajaan memperkasakan TVET. Tumpuan mungkin kepada kursus asas dalam industri kejuruteraan, teknologi maklumat dan penjagaan kesihatan.
"Ia bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja memiliki segulung ijazah tetapi juga mempunyai pengalaman diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan,” jelasnya.
Syahril juga berharap kerajaan mempertimbangkan penubuhan Majlis Semakan Dasar Belia Negara bagi memberikan platform kepada belia dalam mempengaruhi dasar nasional.
"Penyertaan belia dalam pembuat dasar penting. Suara belia dalam dunia yang sedang berubah pantas amat diperlukan.
"Pandangan kami juga penting dalam menentukan hala tuju negara dalam isu-isu seperti dasar ekonomi dan perubahan iklim. Proses semakan yang berstruktur akan memastikan pandangan belia diambil kira dalam keputusan penting negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Syahril turut mencadangkan agar diperluaskan program FlySiswa yang pada ketika ini membantu pelajar menggunakan pengangkutan udara.
"Diharap ia diperluaskan kepada lebih banyak pengangkutan lain seperti bas dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang banyak digunakan pelajar. Ia menjadikan akses pengangkutan lebih adil untuk semua, terutama di kawasan pedalaman,” katanya.
Tambahnya, MPPK menyokong sepenuhnya kesinambungan program eBeliaRahmah yang memberikan remaja dan mahasiswa sebanyak RM200 dalam kredit eWallet.
"Saya harap peruntukan RM400 juta itu diteruskan atau ditingkatkan pada tahun depan, inisiatif ini sangat diperlukan dalam mendepani kos sara hidup yang meningkat.
"Ia memberi kelegaan kewangan kepada pelajar, membantu mereka dalam perbelanjaan harian selain membolehkan mereka terlibat secara lebih aktif dalam ekonomi digital,” jelasnya.
Sementara itu, beliau berharap penekanan turut diberikan kepada orang kelainan upaya (OKU) sama ada pelajar atau anggota masyarakat.
"Penting untuk mempromosikan budaya empati dalam masyarakat selain menyediakan sumber dan aksesibiliti. Antaranya meningkatkan program yang boleh memupuk empati terhadap OKU.
"Perubahan budaya ini memerlukan inisiatif dalam mendidik orang ramai tentang cabaran dihadapi golongan OKU dan bagaimana masyarakat dapat menyokong mereka,” jelasnya.
Syahril berkata, program memupuk inklusiviti dan meningkatkan kesedaran boleh dilaksanakan melalui inisiatif berasaskan empati membabitkan syarikat, kolej dan sekolah.
"Dengan membiayai program seumpama, kerajaan perlu pastikan empati terhadap OKU menjadi sebahagian daripada identiti negara, seterusnya mewujudkan masyarakat lebih inklusif dan belas kasihan.
"Pendekatan ini bukan sahaja memperkasakan OKU, ia juga menggalakkan masyarakat membuka mata terhadap keperluan orang lain dalam membentuk generasi lebih empati,” katanya.
Belanjawan 2025 akan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada 18 Oktober ini.