Bolehkah sertai ‘team building’ bercampur lelaki dan wanita?

Iklan
PERGAULAN antara lelaki dan wanita di tempat kerja atau semasa team building dibenarkan syarak selagi tidak mempunyai unsur-unsur yang melanggar syariat Islam. Foto CANVA

TEAM BUILDING atau disebut juga pengukuhan kerja berpasukan kebiasaannya diwajibkan kepada para pekerja dalam meningkatkan lagi kerjasama sesama mereka.

Sesetengah majikan mengambil berat percampuran antara lelaki dan wanita ketika melaksanakan kursus berpasukan itu terutamanya bagi mereka yang beragama Islam.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun ada juga sebahagian majikan yang menganggap percampuran antara pekerja lelaki dan wanita itu merupakan perkara biasa bagi mereka, lebih-lebih lagi di dalam negara majmuk pelbagai bangsa dan agama seperti Malaysia.

Persoalannya, apakah hukum bercampur antara lelaki dan wanita dalam team building itu? Jika isteri yang menyertainya, apakah tindakan yang sepatutnya dilakukan suami?

Iklan

DR MOHD SUKKI

Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman menjelaskan, percampuran antara lelaki dan wanita disebut sebagai ikhtilat.

Iklan

Menurutnya, terdapat beberapa keadaan yang membawa kepada pengharaman ikhtilat iaitu:

1 – Khalwat iaitu berdua-duaan dengan ajnabi (bukan mahram) dan memandang dengan syahwat.

2 – Wanita dalam keadaan tidak sopan dan lucah (seksi).

3 – Mengandungi unsur perkara sia-sia, hiburan dan bersentuhan.

Tambah beliau, ulama Islam Dr Abdul Karim Zaidan menggariskan beberapa keadaan yang membolehkan ikhtilat iaitu:

1 – Keadaan darurat syar’iyyah seperti seorang lelaki menyelamatkan seorang wanita tersesat atau menyelamatkannya daripada penjenayah.

2 – Terdapat hajat syar’iyyah seperti melakukan transaksi jual beli.

3 – Terdapat maslahat syar’iyyah seperti mendengar kuliah dan pengajian agama.

Ujarnya, perlu difahami keadaan-keadaan tersebut merupakan keadaan pengecualian, maka perlu melakukannya dengan memastikan selamat daripada tohmah (fitnah dan syak wasangka), dilakukan secara sekadarnya, menjaga adab-adab pergaulan dan tidak melampaui had yang dibenarkan.

"Secara ringkasnya, ikhtilat diharuskan jika terdapat justifikasi syarak dan mematuhi aturan syarak dalam berinteraksi dan bergaul,” jelasnya.

Aturan syarak dalam berinteraksi dan bergaul adalah seperti berikut:

1 – Menjaga kesopanan dan adab-adab.

2 – Tidak mengandungi unsur sia-sia, hiburan dan bersentuhan.

JAUHILAH daripada aktiviti team building yang perlu bersentuhan fizikal antara lelaki dan wanita. Foto CANVA

3 – Membataskan pergaulan pada kadar diperlukan.

4 – Wanita tidak boleh berhias-hias dan berwangi-wangian (melebihi kadar sepatutnya).

5 – Melunakkan perkataan dan lain-lain perkara yang boleh menggerakkan nafsu lelaki dan menarik perhatian mereka.

6 – Bebas daripada wujudnya tohmah (fitnah dan syak wasangka).

"Ini kerana tidak terdapat justifikasi syarak untuk membenarkannya.

"Ia bukanlah keadaan darurat, tiada keperluan dan maslahat yang besar serta program team building ini pada hakikatnya tiada halangan untuk disusun secara patuh syariah.

SESETENGAH majikan mewajibkan team building untuk meningkatkan kerjasama sesama pekerja selain menaikkan prestasi mereka. Foto CANVA

"Kaedah pelaksanaannya juga termasuk dalam keadaan yang terdapat unsur yang diharamkan seperti persentuhan fizikal dan mengandungi unsur yang boleh membawa tohmahan,” jelasnya.

Justeru katanya, suami perlu menghalang isteri daripada terlibat dengan program team building seperti ini.

"Suami juga perlu membuat aduan dan boleh mencadangkan agar team building ini diasingkan aktivitinya antara lelaki dan wanita, kecuali aktiviti yang bebas fitnah seperti ceramah yang diasingkan tempat duduk,” ujarnya.