Faktor ekonomi, desakan hidup jadikan penyeludup sebagai 'kerjaya'

Iklan
Nik Ros Azhan (tengah, duduk) bersama wakil agensi pada Majlis Hi-Tea dan Sesi Penyampaian Surat Penghargaan kepada agensi serta media di Kelantan yang diadakan di Pejabat Kompeni D, Pengkalan Kubor, Tumpat pada Khamis.

TUMPAT - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) mendedahkan faktor ekonomi dan desakan hidup menyebabkan rakyat yang tinggal di sempadan Malaysia-Thailand di sini menjadikan Sungai Golok sebagai sumber rezeki menerusi aktiviti penyeludupan sebagai 'kerjaya'.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kebanyakan mereka sanggup mengambil risiko demi mendapat keuntungan mudah walaupun beberapa kali ditahan oleh pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

"Dalam setahun mereka (penyeludup) ditahan sebanyak tiga hingga empat kali oleh kami. Namun mereka tidak serik.

"Bila disoal siasat mereka mendakwa hanya itu pekerjaan yang mampu dilakukan iaitu jenayah rentas sempadan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Iklan

Sebelum itu Nik Ros Azhan hadir pada Majlis Hi-Tea dan Sesi Penyampaian Surat Penghargaan kepada agensi serta media di Kelantan yang diadakan di Pejabat Kompeni D, Pengkalan Kubor di sini.

Menurut beliau, penyeludup ini biasanya berusia antara lingkungan 20 hingga 40 tahun dan melibatkan lelaki serta wanita.

Iklan

Ujarnya, antara barangan yang menjadi pilihan mereka ialah kosmetik, minyak diesel dan petrol, beras dan banyak lagi.

Nik Ros Azhan memberitahu, selain itu disebabkan hukuman yang kurang berat jika dibandingkan dengan kesalahan seperti Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) menyebabkan mereka berani untuk berbuat demikian.

Ia juga diakui oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azman Ismail memaklumkan pihaknya pernah menahan tiga beranak melibatkan suami isteri serta anak perempuan yang melakukan aktiviti penyeludupan bahan bakar.

"Tidak sampai seminggu ditangkap, kami sekali lagi menahan mereka dengan perbuatan yang sama.

"Oleh kerana ia sudah menjadi punca rezeki mereka. Malah hukuman yang ringan dilihat langsung tidak diendahkan. Kami berharap pihak kerajaan dapat mempertimbangkan kembali dari segi menjatuhkan hukuman berat kepada penyeludup," katanya.


PGA catat nilai rampasan RM61.44 juta dalam tempoh sembilan bulan

TUMPAT - Pasukan Gerakan Am (PGA) mencatat nilai rampasan berjumlah RM61.44 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun ini bermula Januari hingga September lalu melibatkan pelbagai barangan rampasan sepanjang Op Taring Wasasan di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, sebanyak 1,265 kes berjaya dilaksanakan melibatkan tangkapan seramai 718 individu atas pelbagai kesalahan.

"Berdasarkan statistik, kadar kes dan nilai rampasan yang tinggi ini dapat disimpulkan bahawa aktiviti penyeludupan masih wujud dan pihak berkuasa sememangnya terus komited dalam usaha untuk memastikan sempadan negara bebas dari sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Sebagai agensi-agensi penguatkuasa sempadan, semua pihak harus lebih peka dan lebih bijak dalam mengatur strategi bagi menghalang kegiatan jenayah ini dari terus berlaku," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu Nik Ros Azhan hadir pada Majlis Hi-Tea dan Sesi Penyampaian Surat Penghargaan kepada agensi serta media di Kelantan yang diadakan di Pejabat Kompeni D, Pengkalan Kubor di sini.

Menurut beliau, kemahiran dan pengetahuan tinggi perlu ada pada setiap pegawai dan anggota dari setiap agensi bagi memastikan sesuatu operasi yang dilaksanakan berjaya melumpuhkan sindiket yang terlibat sehingga ke akar umbi.

Ujarnya, masyarakat juga diingatkan agak tidak sesekali bersekongkol dan terlibat dalam sindiket penyeludupan kerana pihak berkuasa sentiasa peka dan komited untuk terus mengesan serta menangkap individu yang mendalangi kegiatan ini.

"Sebarang bentuk perkongsian maklumat kepada pihak polis adalah sangat dialu-alukan," katanya


PGA harap pembinaan benteng sempadan Malaysia-Thailand dipercepatkan

TUMPAT - Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berharap pembinaan benteng di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini sejauh 26 kilometer dapat dipercepatkan.

Komandernya, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hal ini kerana ia mampu membantu pasukan itu dalam mencegah penyeludupan sekali gus memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

"Ia melibatkan kawasan di Pengkalan Kubor sehingga ke Pos Kawalan PGA di Pak Teh Kana, Jeram Perdah, Rantau Panjang.

"Bila siap, kami dapat melakukan pemantauan secara menyeluruh dan rondaan sebaik mungkin. Sebelum ini pandangan kita agak terhad kerana dilidungi oleh hutan," katanya semasa sidang akhbar pada Khamis.

Sebelum itu Nik Ros Azhan hadir pada Majlis Hi-Tea dan Sesi Penyampaian Surat Penghargaan kepada agensi serta media di Kelantan yang diadakan di Pejabat Kompeni D, Pengkalan Kubor di sini.

Dalam perkembangan lain, Nik Ros Azhan berkata, seluruh anggota PGA sudah bersiap sedia untuk berdepan Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh menyebabkan berlakunya banjir.

Ujarnya, seluruh anggota telah diberikan latihan sebaik mungkin berkait dengan pengendalian aset pasukan seperti bot dan jentera berat.

"Selain melaksanakan menugasan rutin, PGA akan membantu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) untuk tugasan menyelamat mangsa banjir," katanya.