MUAR - Jenazah penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Baru, Muar pada jam 5.20 petang Khamis.
Sebelum itu, van jenazah membawa Allahyarham dari Pusat Hidayah UiTM Dungun jam 11 pagi tiba di rumahnya di Kampung Parit Baru, di sini jam 4.17 petang.
Kepulangan jenazah Allahyarham bersama kedua ibu bapanya, Md Tukirin Saringat, 60, dan Rafeah Buang, 50, disambut pilu kira-kira 150 ahli keluarga, sanak saudara dan kenalan Allahyarham yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan sekali lagi di rumahnya selepas solat Asar sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Sinar Harian melaporkan tiga pelajar UiTM Dungun maut manakala seorang cedera parah akibat dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV dipandu seorang wanita, malam Rabu.
Sewaktu kejadian, Muhammad Akmal, Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20, Khairil Anwar Jamaludin, 20, dan Mohd Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, sedang menaiki dua motosikal jenis Yamaha LC 135 dan Yamaha Y15.
Difahamkan, mereka dalam perjalanan pulang ke kampus sebaik makan malam bersama, bagaimanapun sebaik tiba di pintu hadapan kampus, motosikal dinaiki kesemua mangsa dirempuh dari arah belakang.
Rempuhan itu menyebabkan empat penuntut tersebut tercampak, manakala kenderaan berkenaan pula terbabas memasuki parit di tepi jalan.