Kematian pakar perubatan patologi, jawatankuasa khas lawat Hospital Lahad Datu

Iklan
Lukanisman melawat pameran sempena Hari Penglihatan Sedunia 2024 di Penampang.

PENAMPANG - Siasatan berhubung insiden kematian pakar perubatan patologi dari Hospital Lahad Datu didakwa akibat dibuli di tempat kerja telah pun dimulakan selepas satu jawatankuasa khas ditubuhkan berkuatkuasa pada Khamis.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni bagaimanapun berkata, beliau setakat ini tidak dapat mendedahkan maklumat terkini mengenai siasatan tersebut.

Iklan
Iklan

"Siasatan terperinci akan berjalan dan mungkin jawatankuasa akan mengadakan siasatan bersemuka atau melawat Hospital Lahad Datu.

"Hasil dapatan daripada siasatan jawatankuasa ini juga akan kita gunakan untuk merangka dasar-dasar berkaitan dengan kesihatan mental di kalangan petugas-petugas dan juga isu yang dikaitkan dengan buli atau tekanan dan juga beban kerja di fasiliti.

Iklan

"Ini adalah perkara yang telah kami sampaikan kepada jawatankuasa khas berkenaan dan kami menantikan hasil siasatan untuk mendapatkan keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Penglihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 di sini pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, ditanya adakah siasatan ini akan mengganggu operasi hospital tersebut, Lukanisman berkata, operasi berjalan seperti biasa sepanjang siasatan dilakukan.

"Sudah tentu kita merasa sedih apabila kita kehilangan pakar kerana bukan mudah untuk mendapatkan pakar dan datang ke Sabah dan Sarawak.

"Jadi ia satu kehilangan yang kita kena tahu dan kaji dengan teliti, jadi ini bukan perkara mudah atau kecil. Ini adalah perkara besar yang kita harus lihat dengan serius.

"Kita berharap pihak keluarga dapat bersabar sementara menunggu keputusan yang akan diperolehi nanti," katanya.

Beliau turut menegaskan pihak yang bertanggungjawab akan diambil tindakan jika berlaku insiden buli tersebut.

"Ini untuk memperlihatkan solidariti kita dan menunjukkan betapa seriusnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melihat isu ini.

"Kita juga tidak ingin isu-isu ini berulang di fasiliti yang lain. Kami mahu hentikan isu buli dan menjaga kesihatan mental kakitangan termasuk mana-mana bidang pun," katanya.