SHAH ALAM - Setiap organisasi digesa untuk mewujudkan satu undang-undang khusus berkaitan pemberian atau penerimaan ‘duit kopi’ sebagai salah satu langkah yang seiring dengan usaha kerajaan membanteras jenayah rasuah.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, hukuman seperti dibuang dan digantung kerja boleh digunapakai dalam undang-undang syarikat.
"Pendekatan sedemikian secara tidak langsung akan membangkitkan perasaan takut dalam kalangan pekerja kerana mereka mungkin berdepan dengan kehilangan pekerjaan.
"Jika seseorang terlibat dengan jenayah berkenaan, mereka boleh dibuang kerja jika nilai suapan diterima itu besar dan digantung kerja bagi nilai yang kecil,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Mengulas lanjut, Hamdan memaklumkan bahawa masyarakat kini kurang menitikberatkan perihal menolak amalan pemberian duit kopi.
Beliau berkata, ramai memiliki tanggapan bahawa wang tersebut adalah sesuatu pemberian biasa yang diamalkan dalam mana-mana pentadbiran.
"Istilah duit kopi hanya untuk mengaburkan pandangan bahawa wang itu sebenarnya diberikan untuk mendapatkan sesuatu balasan.
"Apa sahaja perkataan yang digunakan tidak akan menghalalkan niat dan cara dalam membuat sesuatu urusan rasmi atau tidak,” ujarnya.
Tambah beliau, mungkin sesetengah pihak berpandangan pemberian duit kopi itu tidak memberi kesan kepada masyarakat, organisasi atau negara.
"Tanggapan berkenaan salah. Perilaku yang tidak bermoral ini akan meruntuhkan akhlak dan peribadi seseorang bahkan ia mendorong kepada berlakunya rasuah lebih besar.
"Budaya mengambil dan memberikan duit kopi perlu kita hentikan segera sebelum menular dalam masyarakat,” tegasnya.