KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi keutamaan terhadap siasatan berhubung kes GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah bekerja keras menyiasat isu GISBH menerusi Op Global sejak 11 September lalu.
Beliau berkata, polis mempunyai masa kira-kira sebulan untuk menyelesaikan siasatan dan membawa kes kepada pihak pendakwaan.
"Kita perlu mempercepatkan proses dan menyelesaikannya dalam tempoh tahanan suspek termasuk pimpinan tertinggi GISB yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
"Namun jika ada keperluan, kami akan memohon lanjutan tahanan SOSMA," katanya dalam sidang media khas Operasi Global di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Khamis.
Mohd Shuhaily berkata, meskipun pasukan penyiasat telah berkurangan sejak 11 September lalu, siasatan lanjut masih bergantung kepada soal siasat terhadap suspek dan petunjuk yang diperolehi.
Sementara itu menurutnya, mengenai tindakan yang perlu diambil supaya GISBH tidak dihidupkan semula dengan bertopengkan entiti baharu, ia memerlukan kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.
Tegas beliau, perkara itu adalah sangat penting untuk dilaksanakan bersama.
Ini kerana jelasnya, GISBH bukan sekadar ideologi semata-mata, tetapi ia juga melibatkan unsur sosio budaya dan sosio ekonomi.
"Kita serahkan kepada kerajaan untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan saranan yang diberikan.
"Pemulihan anggota GISBH perlu dilakukan secara holistik dan teliti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, pihaknya bekerjasama dengan agensi kerajaan yang lain bagi memastikan ajaran yang diamalkan kumpulan GISBH tidak akan dihidupkan semula.
Ujar beliau, perbincangan antara agensi terlibat merumuskan bukan hanya kefahaman sahaja perlu dihapuskan dalam kumpulan itu.
"PDRM bersama agensi berkaitan bekerjasama dan mengembeling tenaga, kami ada berbincang dalam skop yang lebih luas dan bukan hanya sekadar fahaman sahaja.
"Ia turut meliputi sosio budaya dan sosio ekonomi kerana mereka mempunyai cara tersendiri,” katanya.
Menurut beliau, syor telah diberikan kepada agensi bertanggungjawab untuk memastikan pendekatan pemulihan dibuat secara holistik dan bukan sekadar sudut fahaman sahaja.