'Mesej masuk tak putus-putus selepas Sinar Harian siar berita'

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu.

KOTA KINABALU - Kisah adik Daneen Auni Riksi berusia 19 bulan menghidap kanser ovari tahap tiga yang disiarkan di Sinar Harian pada Rabu mendapat perhatian daripada rakyat Malaysia apabila lebih RM30,000 berjaya dikumpul setakat ini.

Menurut Fallarystia Sintom, 25, ramai yang menghantar mesej kepada mereka untuk menyalurkan dana sebaik saja berita itu disiarkan.

Iklan
Iklan

"Ada yang menyalurkan dana sejak berita anak saya disiarkan di Sinar Harian dan tidak putus-putus orang ramai hubungi kami melalui mesej.

"Setakat ini sudah ada lebih RM30,000 yang terkumpul. Walaupun anggaran kos rawatan kami belum peroleh, namun doktor ada menyarankan untuk kami kumpul saja dana terlebih dahulu. Sebab untuk rawatan kimoterapi memerlukan kos sehingga ribuan ringgit termasuk keperluan jangka panjang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Iklan

Katanya lagi, setakat ini dia belum membuat sebarang perbincangan dengan suami mengenai anggaran kos rawatan anak bongsu mereka.

"Tetapi kami akan bincang perkara itu dan mahu tetapkan juga berapa tempoh untuk kumpul dana tersebut dan kami akan nyatakan perkara itu dalam masa terdekat," jelasnya.

Iklan

Ditanya mengenai rawatan yang dijalani anaknya, Fallarystia berkata, Daneen baru saja selesai menjalani rawatan kimoterapi pada Khamis di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, di sini.

"Namun keadaan itu masih dalam pemantauan jika kesannya selepas rawatan selesai. Jadi sebab itu darahnya diambil setiap minggu untuk pemantauan lanjut," katanya.

Sebelum itu, Fallarystia turut berkata, doktor ada maklumkan rawatan kimoterapi itu mungkin mengambil masa yang lama sehingga sel itu berjaya dihapuskan.

"Tetapi saya tetap berharap anak saya bebas dari kanser ini," katanya.

Sinar Harian melaporkan Fallarystia tidak menyangka anaknya yang belum berusia dua tahun kini menderita kanser ovari tahap tiga.

Kanser itu hanya dapat dikesan selepas anaknya dipercayai mengalami sakit perut sehingga menyebabkannya menangis berpanjangan selain berlaku pendarahan dan dibuang ketumbuhan menerusi satu pembedahan baru-baru ini.