[DIKEMAS KINI] RAFAEL Nadal, pemain tenis terhebat sepanjang zaman mengumumkan akan bersara daripada tenis profesional penghujung musim selepas Pusingan Akhir Piala Davis bulan depan.
Nadal memenangi 22 gelaran Grand Slam, meletakkannya di tempat kedua dalam senarai sepanjang zaman kategori lelaki di belakang bintang Serbia, Novak Djokovic dengan 24 kejuaraan.
Sebagai rekod, 14 daripada kejuaraan datang dari Roland Garros, kejohanan yang dikuasainya tidak seperti pemain lain dalam sejarah sukan itu.
Bintang tenis Sepanyol berusia 38 tahun itu juga memiliki catatan 112-4 di Terbuka Perancis dengan empat rekod kejuaraan di Paris selain semua empat gelaran utama beberapa kali dan menghabiskan 209 minggu di kedudukan nombor satu.
"Ia jelas satu keputusan yang sukar, yang telah mengambil sedikit masa untuk membuatnya.
"Tetapi, dalam hidup ini, semuanya ada permulaan dan penghujungnya. Saya fikir ia adalah masa yang sesuai untuk menamatkan kerjaya yang telah lama dan lebih berjaya daripada yang saya bayangkan,” kata Nadal dalam video disiarkan di pelbagai platform media sosial.
Sebagai rekod, pusingan kalah mati Piala Davis akan berlangsung pada 19 hingga 24 November depan.
Keputusan mengejut Nadal mengumumkan persaraan daripada arus perdana tenis profesional mendapat reaksi komuniti sukan dunia.
Juara 20 kali Grand Slam, Roger Federer berkata:"Rafa! Saya sentiasa berharap hari ini tidak akan tiba. Terima kasih atas kenangan yang tidak dapat dilupakan dan semua pencapaian luar biasa anda dalam permainan yang kami gemari. Ia satu penghormatan mutlak."
Juara 11 kali Gram Slam, Rod Laver pula menyifatkan persaraan tidak dapat dielakkan, namun mengakui akan merindui kelibat Nadal di gelanggang tenis.
"Seorang individu yang benar-benar luar biasa, semoga berjaya.”
Sementara itu, Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo berkata:"Rafa, satu perjalanan karier yang luar biasa! Dedikasi, semangat dan bakat yang luar biasa anda telah memberi inspirasi kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia.
"Satu penghormatan untuk menyaksikan perjalanan anda dan memanggil anda sebagai kawan. Tahniah atas kerjaya yang menakjubkan Selamat bersara!.”
Kapten Perancis, Kylian Mbappe berkata:"Tahniah atas kerjaya anda Rafa, contoh pemain dan peribadi terbaik. Nikmati persaraan anda. Anda akan sentiasa menjadi legenda.”
Presiden Real Madrid, Florentino Perez pula menyifatkan Nadal sebagai kebanggaan Sepanyol.
"Nadal kebanggaan negara juga merupakan contoh nilai teras sukan, yang telah menempa seluruh kerjayanya yang luar biasa.”