VIENTIANE - Malaysia berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi bersama-sama Vietnam dengan meneroka peluang bagi penglibatan sektor swasta dalam industri baharu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan bahawa pertumbuhan pesat perindustrian Vietnam memperlihatkan potensi besar terhadap kerjasama yang akan memanfaatkan kedua-dua ekonomi, terutama memandangkan permintaan global terhadap teknologi termaju yang meningkat.
"Malaysia berminat untuk meneroka peluang bagi penglibatan sektor swasta dalam rantaian nilai baharu, khususnya dalam industri kenderaan elektrik, elektronik, semikonduktor dan bahan termaju," kata Anwar dalam kenyataan pada Khamis.
Terdahulu, Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau dari Vietnam, Pham Minh Chinh, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane, Laos.
Beliau berkata, Malaysia bersedia membantu Vietnam dalam meningkatkan sistem pemantauan, kawalan dan penguatkuasaan perikanan dengan berkongsi amalan terbaik.
Selain itu, turut dibincangkan adalah kerjasama dalam bidang industri halal, yang menyaksikan Malaysia, selaku peneraju global dalam pensijilan halal, menyatakan kesediaan untuk bekerjasama rapat dengan Vietnam.
"Malaysia bersedia untuk menawarkan kepakaran dalam pensijilan dan pematuhan halal, yang boleh membuka peluang baharu untuk Vietnam dalam pasaran halal global," kata Perdana Menteri.
Hanoi adalah rakan dagang ke-12 terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang keempat terbesarnya di ASEAN, selepas Singapura, Indonesia dan Thailand.
Pada Julai, kedua-dua negara dilaporkan bersetuju untuk berusaha mencapai sasaran perolehan perdagangan dua hala US$18 bilion secepat mungkin, dengan mewujudkan persekitaran menggalakkan dalam produk dan perkhidmatan, termasuk barangan halal, untuk memasuki pasaran pengguna di kedua-dua negara. - Bernama