Buang kerja tidak memadai, hukum penguat kuasa korup

Iklan

INTEGRITI atau dalam konteks yang lebih mudah difahami boleh juga dirumuskan sebagai kejujuran atau keteguhan moral seseorang individu.

Dalam apa juga sektor pekerjaan, integriti merupakan elemen yang sangat penting, lebih-lebih lagi bagi seseorang penguat kuasa yang diberi tanggungjawab menjaga keselamatan negara.

Iklan
Iklan

Tanpa integriti, seseorang boleh terdorong untuk memberi atau menerima rasuah kerana mereka meletakkan kepentingan diri melebihi nilai moral dan etika.

Malangnya, isu rasuah di negara ini tidak pernah sunyi sejak berdekad lamanya dan baru-baru ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan kira-kira 50 penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menjadi tali barut sindiket di pintu masuk udara negara.

Iklan

Kumpulan ini yang didalangi seorang pegawai imigresen 'berpengaruh' menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai lubuk mencari 'duit tepi', menggunakan modus operandi 'counter setting'.

Tali barut ini akan melepaskan warga asing masuk ke Malaysia tanpa melalui prosedur keselamatan yang sepatutnya.

Iklan

Kenyataan yang sukar diterima akal, bagaimana penjawat awam yang sepatutnya menjaga negara sanggup belot dan menjadi pengkhianat dengan menyeludup warga asing masuk ke negara sendiri!

Terbaharu, di Johor, seorang pegawai imigresen berpangkat rendah dihadapkan ke mahkamah atas 10 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM55,150.

Kes-kes ini sebenarnya membuktikan, betapa murahnya nilai integriti kepada mereka yang tiada jati diri dan tunduk kepada hawa nafsu sendiri.

Ekoran kesan berantai yang begitu besar, memerangi rasuah menjadi keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak mentadbir negara ini termasuklah usaha terbaharu menerusi Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.

Ia komponen penting agenda reformasi Malaysia yang memberi fokus keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tata kelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam.

Hakikatnya, integriti dan perihal berkaitan rasuah memerlukan iltizam tinggi semua pihak dan bukannya tanggungjawab SPRM semata-mata.

Penguat kuasa yang tidak berintegriti ibarat duri dalam daging. Sudah sampai masanya tindakan lebih tegas diambil — bukan sekadar buang kerja atau tindakan tatatertib sahaja!