MERAK Jalanan bukanlah anak kelahiran Johor, bukan juga merantau di negeri selatan tanah air itu untuk mencari rezeki.
Pengumuman terbaharu Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail ternyata melegakan banyak pihak termasuk rakan Merak Jalanan.
Bermula tahun depan, cuti hujung minggu di Johor akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad.
Al-kisahnya, rakan Merak Jalanan yang sedang melalui fasa perkahwinan jarak jauh (PJJ) pernah meluahkan betapa sukarnya kehidupan yang sedang dia lalui ketika ini.
Walaupun hanya mendengar mungkin tidak sampai 5 peratus daripada permasalahan dalam perkahwinan yang dipisahkan jarak ini, namun Merak Jalanan faham benar, ia tidak mudah.
Walaupun sudah terbiasa dengan situasi tersebut, pasang surut dalam rumah tangga serta urusan harian yang semakin kompleks, menjadikan PJJ semakin lama semakin meletihkan.
Rumah yang mereka beli di Johor didiami isteri dan tiga anak yang sudah bersekolah, manakala suami, berkhidmat sebagai penjawat awam di Putrajaya.
Dalam sebulan, dua atau tiga kali, suami akan pulang ke Johor untuk bertemu isteri dan anak-anak.
Pun begitu, dengan jarak yang agak jauh dan cuti hujung minggu yang berbeza, masa berkualiti yang boleh diperuntukkan bersama keluarga sangat terbatas. Katanya,"aku ni letih atas jalan."
Betul, Merak Jalanan juga setuju. Sampai di Johor Bahru adakalanya sudah lewat malam, anak-anak juga sudah tidur.
Maka hari Sabtu sahajalah semua aktiviti hendak 'disumbat' memandangkan pada Ahad, anak-anak sudah kembali ke sekolah.
Itu belum campur jika pada hari Sabtu ada urusan-urusan di rumah yang perlu diselesaikan si bapa.
Doa Merak Jalanan, semoga dengan pengumuman ini, pasangan ini dan ramai lagi yang senasib di luar sana mendapat lebih masa untuk dinikmati bersama insan tersayang!