'Penjara sebagai pusat tahfiz, dalami ilmu agama'

Iklan
Norjeli berucap pada majlis penangguhan Bengkel Pemantapan Akidah di surau Penjara Pusat Kota Kinabalu, Kapayan.

KOTA KINABALU - Kesilapan seorang pemuda terlanjur dengan teman wanitanya yang juga gadis bawah umur, membawa kepada pertuduhan rogol dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun bersama satu sebatan di Penjara Pusat Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, banduan dikenali sebagai Amirul (bukan nama sebenar) berusia 32 tahun yang didapati bersalah merogol gadis berusia 16 tahun pada 2021 menganggap hukuman itu sebagai hikmah kepadanya sepanjang berada di dalam tirai besi itu.

Iklan
Iklan

"Daripada kosong tidak mempunyai pengetahuan dalam agama, tetapi akhirnya saya belajar banyak ilmu agama yang dipelajari di sini.

Sebahagian banduan yang menyertai Bengkel Pemantapan Akidah di Penjara Pusat Kota Kinabalu di Kapayan.

"Tiada lagi penyesalan, yang ada hanya manfaat sepanjang menjalani hukuman. Saya tidak menganggap ia sebagai hukuman semata-mata tetapi lebih kepada hikmah supaya apabila keluar nanti saya lebih mengenal ALLAH dan tahu mengenai agama Islam," katanya.

Iklan

Amirul ditemui pemberita selepas tamat menyertai Bengkel Pemantapan Akidah di Penjara Pusat yang diadakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini pada Khamis.

Majlis dirasmikan Pengarah Jakim Sabah, Datuk Norjeli Dais dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pusat, Jaini Ayong Rajawa.

Iklan

Cerita Amirul lagi, dia kini sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar yang diamalkan setiap hari ketika ada waktu terluang.

"Malah, saya juga telah berjaya khatam al-Quran sebanyak lima kali dan saya teringat pesan bapa supaya menganggap penjara sebagai pusat tahfiz untuk saya belajar agama sebanyaknya selagi diberi peluang.

"Alhamdulillah, di sini sekarang saya menjadi imam dan mentor kepada penghuni baharu. Malah menerusi bengkel yang saya sertai ini menambahkan lagi ilmu yang saya pelajari.

Sementara itu, seorang lagi banduan dikenali sebagai Azizan (bukan nama sebenar), 45, turut berkongsi rasa penyesalan terhadap maksiat yang dilakukannya sebelum ini.

Azizan yang dijatuhkan hukuman atas kesalahan 376 Kanun Keseksaan iaitu merogol menyatakan kekesalan terhadap perbuatannya yang lalu.

"Saya dituduh merogol teman wanita ketika itu dan pada awalnya saya memang berhasrat untuk mengahwininya sebagai isteri kedua.

"Namun disebabkan ahli keluarga teman wanita tidak bersetuju, akhirnya saya disabit sebagai kes rogol dan saya mengakui memang ada melakukan maksiat bersama teman wanita ketika itu," katanya.

Bagaimanapun menurut Azizan, semuanya itu adalah kisah lama dan dia sudah insaf serta berjanji tidak mengkhianati isterinya lagi selepas keluar daripada menjalani hukuman selama 20 tahun di penjara tersebut.

"Setiap kali selepas solat termasuk solat taubat dan ketika membaca ayat kalam ALLAH, saya menangis kerana menyesal dengan perbuatan sebelum ini.

"Masih terbayang-bayang saya dulu yang seorang suka berfoya-foya, mabuk dan juga mempunyai teman wanita walaupun sudah beristeri dan dua anak.

"Tetapi dengan belajar agama di sini saya dapat membentuk peribadi dan akhlak yang lebih baik. Saya tidak mahu lagi menjadi contoh kepada anak-anak yang ketika berada dalam keadaan sesat," katanya.

Sehubungan itu, Azizan berkata, bengkel yang disertainya itu bukan saja memberi pengetahuan yang lebih mendalam mengenai ilmu agama tetapi memberi penekanan secara berterusan supaya kita terus bertiangkan agama Islam dalam kehidupan ini.