KOTA TINGGI – Seorang lelaki cedera apabila lori yang dipandunya dipercayai terbabas ke dalam gaung sedalam 20 meter berhampiran Jambatan Sungai Sekol, Jalan Felda Penggelai Timur ke Kota Tinggi, di sini, pada Khamis.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tenggara, Pegawai Bomba Kanan 1 Khas Untuk Penyandang (KUP) Masnawi Wardjin, pihaknya menerima panggilan mengenai perkara berkenaan pada jam 1.20 tengah hari.
Katanya, sebaik menerima panggilan tersebut satu pasukan keluaran operasi (PKO) melibatkan jentera Lower Fire Rescue Tender (LFRT) dengan tujuh anggota bomba dihantar ke lokasi.
"Setibanya PKO ke lokasi didapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah lori jenis Hino yang terbabas ke dalam gaung yang dianggarkan sedalam 20 meter.
"Pemeriksaan lanjut mendapati, ada seorang mangsa mengalami kecederaan dan PKO bertindak membawa mangsa naik ke atas dengan menggunakan satu unit pengusung, sistem tali dan pulley.
"Mangsa yang berusia 25 tahun kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Operasi tamat pada jam 1.58 tengah hari.