LONDON - Program Makanan Sedunia (WFP) pada Khamis memberi amaran bahawa ancaman kebuluran masih berterusan di Gaza di tengah-tengah penderitaan rakyatnya.
"Dengan tibanya musim sejuk, setiap hari adalah perjuangan untuk bertahan hidup. Kelaparan terus merebak dan ancaman kebuluran tetap wujud,” kata agensi PBB itu menerusi hantaran di X.
WFP menyuarakan kebimbangan bahawa usaha untuk membawa masuk bekalan penting menghadapi cabaran yang semakin meningkat dan menyeru agar situasi ini dihentikan.
Awal minggu ini, WFP memberi amaran bahawa satu juta orang berisiko hilang sokongan penting sekiranya aliran bantuan tidak disambung semula.
"Bantuan yang memasuki Semenanjung Gaza merosot ke paras terendah dalam beberapa bulan, memaksa WFP menghentikan pengagihan bungkusan makanan pada Oktober,” kata WFP dalam satu kenyataan.
"Dengan musim sejuk semakin menghampiri, dan setelah melalui satu tahun konflik, penduduk Gaza mendapati diri mereka tidak mempunyai perlindungan yang mencukupi, tanpa bahan api dan dengan bantuan yang sangat terhad,” menurut kenyataan itu.
WFP turut menyuarakan 'kebimbangan mendalam' mengenai perkembangan semasa di Tebing Barat, memandangkan situasi di sana semakin meruncing dan tidak menentu.
"Operasi ketenteraan berskala besar Israel, sekatan pergerakan dan peningkatan keganasan oleh pendatang Yahudi menyumbang kepada peningkatan kelaparan,” menurut WFP.
Israel terus melancarkan serangan ganas di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu, walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata serta-merta.
Lebih 42,000 orang terbunuh sejak itu, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan lebih 97,700 cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Serangan besar-besaran oleh Israel menyebabkan hampir keseluruhan penduduk Semenanjung Gaza hilang tempat tinggal, di tengah-tengah sekatan berterusan yang menyebabkan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan.
Israel kini berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung tindakannya di Gaza. - Bernama-Anadolu