Dua anggota pengaman Indonesia cedera dalam serangan IDF di selatan Lubnan

Iklan
Pengaman PBB bertugas di bawah mandat UNSC bertujuan mengekalkan kestabilan di Lubnan. Foto Agensi

JAKARTA - Dua anggota pengaman Indonesia, Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) cedera dalam serangan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di selatan Lubnan.

Menteri Luar, Retno Marsudi mengesahkan bahawa kedua-dua anggota itu mengalami cedera ringan akibat tembakan kereta kebal IDF ketika mereka memantau dari menara pengawal di pangkalan kontingen Indonesia di Naqoura pada pagi Khamis.

Iklan
Iklan

Kawasan ini dikenali sebagai 'blue line', dipantau oleh pengaman PBB di bawah mandat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang bertujuan mengekalkan kestabilan di Lubnan.

"Kedua-dua anggota itu menerima rawatan segera di hospital berhampiran dan kini berada dalam keadaan baik," kata Retno dalam satu kenyataan.

Iklan

Kenyataan itu turut menekankan kepentingan menghormati kekebalan wilayah PBB dalam apa jua keadaan.

"Indonesia menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap pengaman adalah pelanggaran serius terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1701, yang menjadi asas mandat UNIFIL," katanya.

Iklan

Semasa menghadiri mesyuarat Sidang Kemuncak ASEAN di Laos, Retno berhubung secara langsung dengan komander Unit Sokongan Ibu Pejabat Pasukan Garuda mengenai insiden itu.

UNIFIL turut menggesa IDF untuk memenuhi tanggungjawabnya bagi memastikan keselamatan anggota dan kemudahan PBB, katanya. - Bernama