ASEAN perlu kekal sebagai entiti teguh - Menteri Luar

Iklan
Mohamad mengadakan sidang media di Vientiane sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 yang bermula semalam. Foto Bernama

VIENTIANE - ASEAN perlu kekal sebagai satu entiti teguh yang menuntut setiap anggota blok berkenaan untuk tidak membuka ruang kepada perpecahan dengan memihak kepada negara-negara yang bertelagah.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia antara beberapa perkara utama yang dibincangkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sedang berlangsung di sini sejak Rabu.

Iklan
Iklan

Pemimpin blok serantau itu antara lain mengadakan pertemuan dengan pemimpin China, Korea dan Jepun dalam Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga (APT) pada Khamis bagi membincangkan bagaimana APT boleh dijadikan asas kepada keamanan dan kesejahteraan di Asia Tenggara.

"Peranan mereka dan keakraban mereka bertiga ini amat penting... kalau tidak, keadaan di Asia Tenggara ini akan jadi kucar kacir jika mereka ini bertelagah.

Iklan

"Kita tidak mahu ASEAN berpecah-belah disebabkan ada yang nak memihak kepada negara-negara yang mereka nak berpihak," katanya dalam sidang media bersama media Malaysia di sini, lewat Khamis malam.

Mohamad berkata, ASEAN perlu dikekalkan sebagai sebuah entiti... sebab itulah kepusatan ASEAN itu sangat penting. Apa saja urusan kita nak buat, mesti berasaskan semangat kepusatan ASEAN sendiri," jelasnya.

Iklan

Selain APT, perbincangan turut diadakan dengan rakan dialog lain termasuk Australia, New Zealand, India dan Kanada yang berkisar kepada perdagangan dan pemindahan teknologi.

Di samping itu, kumpulan berkenaan turut mengambil peluang membincangkan isu perdagangan serantau terutama dalam meningkatkan perdagangan intra-ASEAN memandangkan jumlah dagangan di antara negara-negara ASEAN pada masa ini terlalu kecil.

"Kita lebih banyak berdagang dengan mereka dari luar berbanding dari dalam ASEAN, tak sampai 30 peratus pun perdagangan intra-ASEAN."

Sehubungan itu, beliau berkata ASEAN perlu menambah baik kesalinghubungan, bukan sahaja daripada segi jalinan infrastruktur jalan raya malah perlu meningkatkan kesalinghubungan daripada segi perdagangan, pelaburan dan ekonomi.

"Ini merupakan satu perkara yang amat ditekankan oleh semua negara agar kita sesama sendiri berdagang dan bagi negara yang mempunyai bekalan, dapat membekalkan kepada negara yang memerlukan, contohnya keperluan tenaga kerja," jelasnya.

Selain itu, wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) turut mengadakan pertemuan tertutup dengan ketua-ketua negara ASEAN dengan Parlimen Malaysia diwakili Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

"Semua speaker-speaker Parlimen dalam ASEAN hadir berbincang dengan ketua-ketua negara ASEAN bagaimana cara untuk kita mempertingkatkan teknologi dan memperkasakan Parlimen masing-masing supaya kebebasan bersuara dapat dipertingkatkan lagi di peringkat negara-negara kita," katanya. - Bernama