RUU 355 tidak dibentang pada sesi Parlimen minggu depan

Iklan
Naim

PUTRAJAYA - Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) tidak akan dibentangkan pada sesi Dewan Rakyat penggal ketiga Parlimen Ke-15 yang bermula Isnin depan.

Sebaliknya kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, pihaknya akan membawa RUU Mufti bacaan kali kedua.

Iklan
Iklan

"Tiada (RUU 355), seperti mana diputuskan, kita bawa berkaitan RUU Mufti," katanya menerusi sidang akhbar selepas merasmikan pelepasan konvoi Misi Jelajah Peduli Ummah Sejahtera Insan al-Falah di Kompleks Islam pada Jumaat.

Menurutnya, Kabinet sebelum ini sudah bersetuju supaya bacaan kedua dan ketiga dibentangkan di Parlimen kali ini.

Iklan

Pada Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pindaan RUU 355 tidak dilakukan secara tergopoh-gopoh.

Beliau mengesyorkan proses pindaan itu dilakukan dengan teliti mengambil kira pandangan semua pihak sama ada Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil, termasuk pakar undang-undang antarabangsa.

Iklan

RUU Mufti adalah antara empat rang undang-undang yang ditangguhkan daripada dibentangkan pada mesyuarat sebelum ini.

Tiga RUU lain ialah RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024, RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada tahun 1996 mengemukakan pindaan RUU355 sebagai rang undang-undang ahli persendirian.

RUU ini bertujuan meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah yang terhad, iaitu denda RM5,000 atau tiga tahun penjara atau/dan sebat enam kali kepada bidang kuasa lebih mengikut syariah, kecuali hukuman bunuh.