Cuti hujung minggu Johor tak perlu jadi bahan politik - MB

Iklan
Onn Hafiz

JOHOR BAHRU - Titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Sabtu dan Ahad, tidak perlu dijadikan bahan politik.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, titah pertukaran cuti hujung minggu itu merupakan keputusan yang terbaik untuk negeri dan rakyat Johor secara keseluruhannya.

Iklan
Iklan

Malah katanya, ia turut mendapat pandangan daripada Mufti Besar dan Exco Agama Negeri Johor bahawa ketertinggian Islam tidak sedikit pun berkurang apabila negeri Johor tidak lagi bercuti pada Jumaat mulai Januari 2025.

"Jika kita merenung firman ALLAH SWT dalam surah Al-Jumuah ayat 9-10, kita akan lebih tenang dalam memberi ulasan perihal yang sama; Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan solat pada hari Jumaat, maka bersegeralah kamu untuk mengingati ALLAH dan tinggalkan lah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Apabila solat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di muka bumi; dan carilah kurnia ALLAH dan ingatlah ALLAH banyak-banyak supaya kamu beruntung.

Iklan

"Intipati firman tersebut memerintahkan kita umat Islam pada hari Jumaat agar memperbesarkan syiar Islam dengan segera untuk meninggalkan segala urusan dan bersegera bagi menunaikan solat Jumaat.

"Namun seusai solat Jumaat ditunaikan, kita diperintahkan untuk kembali bertebaran (kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah) di atas muka bumi, mencari apa yang dihajati selagi mana bertepatan dengan landasan dan syariat Islam,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Tambah Onn Hafiz, pihaknya yakin keputusan pertukaran cuti hujung minggu itu bakal memberikan manfaat kepada seluruh Bangsa Johor.

Jelasnya, mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang selain memudahkan lagi mereka merancang aktiviti pada hujung minggu.

"Insya-ALLAH, tanpa mengetepikan kepentingan urusan solat Jumaat, kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat dan saya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan sehingga menjejaskan keharmonian negeri Johor,” katanya.

Sebelum ini, Tunku Mahkota Ismail dilaporkan bertitah, cuti hujung minggu di Johor yang ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad adalah kehendak rakyat negeri ini untuk meluangkan lebih masa bersama keluarga dan anak-anak.

Titah baginda, penukaran cuti hujung minggu itu juga bakal membawa kesan ekonomi yang positif, seiring dengan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat di Johor.

"Jika ada pihak yang kurang senang atau tidak berpuas hati demi agenda peribadi, nak melaga-lagakan rakyat atau kepentingan politik, anda dipersilakan pindah ke negeri-negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu," titah baginda di akaun Facebook pada Khamis.

Isnin lalu, Tunku Mahkota Ismail bertitah, penyelarasan semula cuti hujung minggu itu juga mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan pandangan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAlNJ).