Sindiket visa perubatan warga asing: EAIC bentang dapatan awal minggu depan

Iklan
Ismail ketika ditemu bual di Pejabat EAIC pada Khamis. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan membentangkan dapatan awal siasatan berhubung sindiket visa perubatan warga asing pada mesyuarat suruhanjaya minggu hadapan sebelum tindakan lanjut dilaksana.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata, tindakan awal telah dibuat hasil aduan kepada pihaknya.

Iklan
Iklan

Katanya, ekoran itu, pada 1 Oktober tindakan rampasan dan sitaan dibuat EAIC ke atas 156 fail permohonan Pas Lawatan Sosial (kategori Pas Rawatan) di Bahagian Visa, Pas dan Permit Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

"Tindakan sitaan ini selaras dengan Seksyen 41 Akta 700," katanya kepada Sinar Harian dalam temu bual di Pejabat EAIC di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, setakat ini siasatan masih dijalankan dan masih di peringkat awal.

Katanya, EAIC akan membawa perkara itu ke mesyuarat suruhanjaya untuk persetujuan pelaksanaan siasatan penuh.

Iklan

"Kita mendapat kerjasama baik daripada pihak JIM," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyerahkan kepada EAIC untuk menjalankan siasatan lanjut dan bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil.

Zakaria menegaskan JIM tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai tanpa mengira pangkat atau jawatan yang terbukti melakukan salah laku.

Terdahulu, sebuah portal melaporkan beberapa pegawai imigresen sedang disiasat selepas disyaki terbabit dalam sindiket visa perubatan membabitkan warga asing.

Menurut laporan yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan imigresen itu, siasatan berkaitan sindiket berkenaan kini sedang dijalankan pihak EAIC.